Kes bunuh ibu: Saksi, mangsa cedera kongsi kisah

Terpaksa bergelut dengan suspek untuk leraikan pegangan pisau di tangan. Itu kata penduduk yang berada di lokasi kejadian tikam emak dan adik serta seorang individu di Taman Kampung Padang, semalam.

Terpaksa bergelut dengan suspek untuk leraikan pegangan pisau di tangan. Itu kata penduduk yang berada di lokasi kejadian tikam emak dan adik serta seorang individu di Taman Kampung Padang, semalam.

Penduduk Taman Impianku, Abd Halim Othman, 52, berkata, beliau dan beberapa rakannya sedang minum di kedai kopi berhampiran telah melihat suspek sedang menolak seorang wanita dengan kerudi roda.

Curiga dengan situasi itu, beliau mendekati suspek untuk bertanya apa yang berlaku dan sempat melihat seorang wanita warga emas terkulai di atas kerusi roda.

“Waktu tu kami syak memang dah meninggal dunia sebab mangsa ada kesan darah di leher. Suspek pula ada darah di baju dan masih memegang pisau.

“Kami sempat selimutkan mangsa dengan kain dan segera telefon polis,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada masa sama, katanya suspek telah meluru dan menikam dua individu lain yang ketika itu memperlahankan motosikal untuk mendekatinya.

“Melihat situasi itu saya dan beberapa rakan lain terus bergelut dengan suspek sehingga dia lepaskan pisau. Kami terpaksa ikat tangannya bimbang lebih agresif.

“Saya tidak pernah kenal suspek dan ibunya walaupun dah 20 tahun tinggal di sini. Selepas itu baru saya tahu yang kena tikam naik motosikal tu salah seorang ialah adiknya,” katanya yang menyifatkan ia kejadian pertama seumpamanya berlaku di situ.

Rasa tak sedap hati jadi petanda

Rasa tidak sedap hati yang dialami sejak pagi rupa-rupanya menjadi petanda kejadian buruk bakal menimpa seorang daripada mangsa tikam di Taman Kampung Padang, di sini, semalam.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa, Mohammad Azizan Awang, 38, cedera ditikam seorang lelaki berusia 38 tahun yang juga abang kepada teman wanitanya, Masitah Mustafa, 26.

Masitah turut cedera ditikam beberapa kali manakala ibu Masitah, Sefiah Hamid, 62, maut ditikam di bahagian leher kiri oleh lelaki sama sebelum ditolak menggunakan kerusi roda sejauh 50 meter dari rumah mereka.

Mohammad Azizan berkata, ketika kejadian dia baru sahaja menjemput Masitah yang baru habis bekerja shif malam dari sebuah pasaraya 24 jam di Bukit Sekilau.

“Selepas itu kami pergi sarapan di kedai dan merancang hantar makanan untuk mak dan abangnya itu. Ketika sarapan saya dah rasa tak sedap hati dan suruh Masitah makan cepat-cepat.

“Sebaik saja sampai di kawasan perumahan itu Masitah nampak abangnya tolak mak naik kerusi roda. Kami dekati untuk tanya kenapa dan waktu itu saya sekali lagi tak sedap hati sebab nampak baju dia berdarah. Tiba-tiba terus kena tikam,” katanya yang mengakui terjatuh daripada motosikal selepas ditikam dan tidak mampu melawan kerana ditindih motosikal.

Akibat tikaman itu Mohammad Azizan mendapat kecederaan di lengan kanan dan dijadualkan menjalani satu pembedahan berkaitan saraf koyak, hari ini.

Mohammad Azizan berkata demikian ketika ditemui media di wad Kiambang Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, sepanjang hampir lima tahun mengenali Masitah, abang Masitah seorang yang baik meski pun tidak banyak bercakap manakala ibu Masitah menghidapi masalah tulang belakang selepas dipercayai terjatuh sejak beberapa bulan lalu.

“Saya tengok dia jaga maknya pun baik. Malah kali terakhir kami berjumpa pada minggu lepas kami sempat makan bersama-sama. Tak ada tanda-tanda pelik pada abang mahupun arwah mak Masitah.

“Abangnya juga tak pernah bawa mak keluar lebih dari pintu pagar. Itu yang Masitah pelik apabila nampak dia tolak mak naik kerusi roda,” katanya.

Mohammad Azizan berkata, beliau dan Masitah masih trauma dengan kejadian tersebut memandangkan hubungan beliau bersama abangnya itu adalah baik.

“Masitah juga anak yang sangat rapat dengan ibunya dan setiap kali gaji dia mesti utamakan mak dia,” katanya.

Difahamkan suspek tinggal bersama Sefiah dan adik bongsu mereka yang ketika kejadian keluar rumah atas urusan memperbaharui lesen motosikal.

Tiga beranak itu baru berpindah ke Taman Kampung Padang dari Bukit Sekilau sejak setahun setengah yang lalu.

Petugas media cuba untuk menemubual Masitah namun dimaklumkan kakitangan HTAA bahawa beliau enggan diganggu.