Pegawai polis maut kemalangan ketika konvoi

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata kejadian pada 11.05 pagi itu menyebabkan mangsa Inspektor Muhammad Hilmie Quzaimi Rosli, 26, maut ditempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan kaki.

Seorang pegawai polis yang menyertai Konvoi Kursus Asas Menunggang Motosikal Berat Kelas B (KAMMB) maut akibat kemalangan di Km 51, Jalan Kuantan-Segamat, Pekan dekat sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata kejadian pada 11.05 pagi itu menyebabkan mangsa Inspektor Muhammad Hilmie Quzaimi Rosli, 26, maut ditempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan kaki.

Mangsa yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Trafik di Bachok, Kelantan menyertai KAMMB yang dalam perjalanan dari Kuantan untuk pulang ke Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri di Muar, Johor.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa bergesel dengan motosikal di hadapannya yang ditunggangi jurulatih Maktab Teknik PDRM Bakri yang berpangkat Sarjan.

“Pergeselan itu menyebabkan motosikal mangsa terjatuh ke laluan bertentangan sebelum dilanggar oleh kereta Perodua Kancil dari hadapan yang tidak sempat mengelak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata anggota polis berpangkat Sarjan dan pemandu kereta yang berusia 73 tahun dari Felda Chini 4, Pekan bagaimanapun tidak cedera dalam kejadian itu.

Kemalangan juga menyebabkan motosikal mangsa dan kereta Kancil tersebut rosak pada bahagian hadapan, katanya.

Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA