Suspek tikam ibu direman 7 hari

Sebutan reman dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Syarifah Norsyuhada Wan Mamat di hadapan Majistret, Tengku Eliana Tuan Kamaruzzaman dan turut dihadiri Doktor psikitrik Hanisah Mohd Nor.

Polis mengesahkan suspek kes tikam tiga individu termasuk ibunya sendiri dalam kejadian di Taman Kampung Padang di sini, semalam, direman selama tujuh hari, bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Superintendan Mohammad Noor Yusof Ali berkata, permohonan tahanan reman ke atas suspek telah dijalankan di Wad Dahlia, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, pagi tadi.

Menurutnya, sebutan reman dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Syarifah Norsyuhada Wan Mamat di hadapan Majistret, Tengku Eliana Tuan Kamaruzzaman dan turut dihadiri Doktor psikitrik Hanisah Mohd Nor.

“Majistret telah memerintahkan suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 13 hingga 19 November di Hospital Tampoi,” katanya.

Dalam kejadian kira kira jam 8.30 pagi semalam, mangsa, Sefiah Hamid, 62, maut ditikam di bahagian leher kiri dan suspek yang merupakan anaknya itu turut menikam adiknya, Masitah Mustafa, 26, serta teman lelaki Masitah, Mohammad Azizan Awang, 38.

Jenazah Sefiah telah selamat dikebumikan di Nenasi Pekan, malam semalam.