Pejabat Mufti WP hantar 3 imam untuk ‘ekor Harimau Malaya’

Menurut mufti, Dr Zulkifli Mohamad, tiga imam tersebut juga bersedia menjadi tempat rujukan kepada "ekor Harimau Malaya" yang menghadapi sebarang kemusykilan berhubung isu fikah.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menyediakan tiga imam untuk membantu penonton mengerjakan solat Maghrib berjemaah di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam ini.

Menurut mufti, Dr Zulkifli Mohamad, tiga imam tersebut juga bersedia menjadi tempat rujukan kepada “ekor Harimau Malaya” yang menghadapi sebarang kemusykilan berhubung isu fikah.

Malaysiakini melaporkan, tiga imam tersebut, kata mufti, dikenali sebagai Ustaz Ridzuan, Ustaz Ashraf dan Ustaz Anas.

“Bagi perlawanan kelayakan Piala Dunia di Stadium Bukit Jalil malam ini, Pejabat Mufti WP menyediakan imam bagi solat Maghrib berjemaah.

“Mereka juga bersedia untuk membantu #EkorHarimauMalaya bagi persoalan fiqh musafir,” katanya.

Untuk rekod, ungkapan “ekor Harimau Malaya” merujuk kepada penyokong skuad kebangsaan.

Anak didik Tan Cheng Hoe bakal turun berdepan cabaran pasukan Thailand untuk pusingan kelayakan Piala Dunia 2020 pada jam 8.45 malam.

Zulkifli memang dikenali sebagai tokoh yang menggemari sukan bola sepak dan menjadi penyokong setia Harimau Malaya.

Selain menjadi agamawan yang dihormati, beliau juga sering mendapat perhatian kerana menyokong Liverpool dan pernah beberapa kali membuat kemas kini mengenai kelab itu di media sosial.

Dalam hantaran terkini di media sosial, beliau turut tidak lupa mengucapkan penghargaan kepada FAM untuk kemudahan yang diberikan kepada imam terbabit.

“Terima kasih FAM untuk tajaan tiket! Boleh cari mereka (imam-imam berkenaan) di sana,” katanya.