‘Selepas bebas mahu jadi orang biasa, habiskan masa dengan keluarga’

“Saya memang sebut dari awal saya tak berminat buat masa ini. Saya juga tak minat ada jawatan-jawatan bersabit kerajaan atau awam, saya ingat masa tiga hingga empat tahun ini untuk kembali jadi orang biasa". - Rafizi Ramli

Selepas dibebaskan daripada hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan mendedahkan data bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC), Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyatakan bahawa beliau tidak berniat untuk kembali aktif dalam politik pada masa terdekat ini.

Malaysiakini melaporkan, bercakap kepada wartawan luar Mahkamah Tinggi Shah Alam pagi ini, bekas ahli parlimen Pandan itu berkata beliau mahu terus menjadi “orang biasa” dan menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga dan rakan-rakannya.

“Ramai yang kurang faham yang masa di dalam medan depan politik ambil masa cukup panjang dan tenaga serta masa daripada keluarga.

“Saya memang sebut dari awal saya tak berminat buat masa ini. Saya juga tak minat ada jawatan-jawatan bersabit kerajaan atau awam, saya ingat masa tiga hingga empat tahun ini untuk kembali jadi orang biasa.

“Masalah utama orang politik baik BN dan sekarang Pakatan Harapan (PH), bila menang jadi kerjaaan, dia tak hidup seperti orang biasa, dia jadi lupa daratan,terpisah dengan realiti.

“Jadi saya rasa masa PH berkuasa adalah zaman saya kembali jadi orang biasa, cari makan macam orang biasa,” katanya.

Mahkamah Sesyen Shah Alam pada tahun 2012 mendapati ahli parlimen Pandan itu bersalah atas dakwaan mendedahkan empat akaun bank berkaitan NFC dan pengerusinya, Mohamad Salleh Ismail dan menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan ke atasnya mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA).

Susulan itu, Rafizi tidak bertanding pada pilihan raya umum tahun lalu.

Selepas PRU14, Rafizi mengundang bidasan daripada pelbagai pihak keranta mempersoalkan anggota kabinet yang dilantik oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Rafizi, yang adalah sekutu Presiden PKR, Anwar Ibrahim, juga gagal menyingkirkan timbalan presiden Azmin Ali dalam pemilihan parti tahun lalu. Walau bagaimanapun, beliau kemudian dilantik sebagai naib presiden.

Beliau kemudiannya mengekalkan profil yang rendah sejak itu.