PKPP bayar hasil, pekebun haram kaut untung

Sebanyak 68 hektar daripada 412.60 hektar Ladang Pamah Lebar di Tras, Raub, Pahang milik PKPP ini telah diteroka secara haram melibatkan lebih 30 individu yang mengaut untung dengan menanam durian, pisang dan getah.

dav

Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) bayar cukai hasil, peneroka haram kaut untung. Itu kerugian yang perlu ditanggung PKPP selama kira-kira 20 tahun.

Sebanyak 68 hektar daripada 412.60 hektar Ladang Pamah Lebar di Tras, Raub, Pahang milik PKPP ini telah diteroka secara haram melibatkan lebih 30 individu yang mengaut untung dengan menanam durian, pisang dan getah.

Bagi mengelak terus menanggung kerugian, PKPP dengan kerjasama Unit Penguatkuasaan Negeri melibatkan beberapa agensi telah menjalan operasi menebang pokok-pokok di kawasan tanah yang diceroboh secara haram itu bermula hari ini hingga 23 November ini.

Menurut Pengurus Besar PKPP Plantation Sdn Bhd, Shahromzaki Hassan, semenjak ladang Pamah Lebar yang ditanam sawit berkeluasan 246.07 hektar mengeluarkan hasil, hingga kini PKPP telah mengalami kerugian berjumlah RM2.511 juta.

Jelasnya, ia berikutan tanah yang diceroboh tidak dapat diusahakan untuk tanaman kelapa sawit selain perlu menanggung bayaran cukai tanah berjumlah RM34,408.00 semenjak tahun 2000 atas tanah yang diceroboh.

Tambahnya, selepas beberapa tindakan diambil seperti membuat laporan polis, meletak papan notis ‘Tanah Milik PKPP’ dan yang terakhir notis 14 hari melarang sebarang aktiviti dalam kawasan tanah milik PKPP pada 13 November lalu, kini selepas tempoh notis tamat pihaknya mengambil tindakan tegas dengan menebang pokok-pokok dalam kawasan yang diceroboh itu.

“Kita menjangkakan operasi ini akan diteruskan untuk tempoh selama 3 hari dan berakhir pada 21hb..jadi kita mengharapkan tindakan ini akan dapat menyelesaikan masalah pencerobohan tanah-tanah kerajaan terutamanya PKPP Negeri Pahang yang mana banyak kawasan-kawasan yang telah diteroka oleh peneroka-peneroka yang kita tidak pasti.

“Jadi kita mengharapkan dengan tindakan ini nanti pihak PKPP akan dapat melaksanakan projek-projek tanaman dan juga projek-projek yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan lancar dan licin..operasi ini kita laksanakan setelah pencerobohan ini berlanjutan selama hampir 20 tahun di mana pihak PKPP negeri Pahang telah mengalami kerugian dianggarkan RM2.5 juta,” katanya, semalam.

Menurutnya, kerugian-kerugian lain yang dijangkakan adalah melibatkan cukai dan premium yang dibayar kepada kerajaan negeri.

Katanya, tindakan penceroboh meneroka tanah-tanah PKPP menyebabkan PKPP tidak mendapat hasil di atas tanah berkenaan manakala pihak penceroboh pula mendapat hasil daripada mereka mengusakan tanah-tanah tersebut dengan tanaman durian, pisang dan getah.

Bagaimanapun, Shahromzaki berkata, ada beberapa pekebun durian yang mengemukakan rayuan dan pihaknya kini sedang memperhalusinya namun tindakan awal ke atas kebun getah dan pisang seluas 14 hektar tetap dilaksanakan.

Tindakan dan pertimbangan PKPP itu dibuat kerana tanah berkenaan bernilai tinggi untuk tanaman durian dengan impak keuntungan yang jauh lebih tinggi daripada tanaman kelapa sawit.