MB Perak tabik Nor Salwani

Nor Salwani Muhammad mendapat penghargaan istimewa dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini kerana menyelamatkan salinan asal laporan audit 1MDB yang diarah dimusnahkan.

Nor Salwani Muhammad mendapat penghargaan istimewa dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini kerana menyelamatkan salinan asal laporan audit 1MDB yang diarah dimusnahkan.

Malaysiakini melaporkan, Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu memberikan tabik hormat kepada pengarah audit (sektor tadbir urus), Jabatan Audit Negara itu ketika meminta menjawat awam mencontohi Salwani.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan setinggi tinggi penghormatan kepada Puan Nor Salwani binti Haji Mohammad, pengarah sektor audit tadbir urus Jabatan Audit Negara di atas keberanian beliau menyimpan bukti pindaan ke atas laporan audit 1MDB. 

“Beliau melakukan itu kerana rasa tanggungjawab dan cinta kepada negara biarpun berdepan dengan risiko yang sangat besar pada ketika itu.

“Saya berharap para penjawat awam negeri Perak akan menjadikan beliau sebagai idola dalam memegang amanah kepada rakyat. 

“Tabik hormat saya kepada puan Nor Salwani,” katanya dalam ucapan penggulungannya di DUN Perak hari ini.

Salwani semalam memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia secara rahsia menyimpan satu daripada 60 salinan laporan asal yang diterbitkan oleh jabatan itu pada 2016.

Bosnya ketika itu – ketua audit negara, Ambrin Buang – memerintahkan agar semua 60 naskhah laporan itu dimusnahkan untuk mengelak kebocoran.

Salinan itu kini dikemukakan sebagai bukti dalam perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak yang dituduh mengarahkan pindaan ke atas laporan audit berkenaan.

Salwani juga membekalkan lebih banyak bukti utama dalam bentuk rakaman audio selama dua jam dan 45 minit yang dirakamkan pada mesyuarat 24 Februari 2016, yang dihadiri oleh pegawai tertinggi kerajaan dan 1MDB.

Katanya, beliau memasukkan perakam suara ke dalam bekas pensel milik pegawai atasannya, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, sebelum mesyuarat bermula.

Dihujani pujian di alam maya

Sementara itu, Salwani juga dihujani pujian warga maya dan pemimpin politik susulan tindakannya itu.

Artis grafik terkenal Fahmi Reza juga mencipta poster khas bagi mengangatkat wanita itu dengan kapsyen bertulis “Berani mengingkari koruptor”.