Zulkifli Pengerusi Amanah Pahang baru

Berlaku kejutan apabila nama besar seperti bekas Adun Semantan, Syed Hamid Syed Mohamed dan penyandang Pengerusi Amanah negeri, Dr Hamzah Jaafar tewas dalam pemilihan yang diadakan di Hotel Green Park, Temerloh, semalam.

Konvensyen dan Pemilihan Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang 2019 telah pun melabuhkan tirai dan menyaksikan barisan kepimpinan baru telah dipilih.

Berlaku kejutan apabila nama besar seperti bekas Adun Semantan, Syed Hamid Syed Mohamed dan penyandang Pengerusi Amanah negeri, Dr Hamzah Jaafar tewas dalam pemilihan yang diadakan di Hotel Green Park, Temerloh, semalam.

Jawatan Pengerusi Amanah Negeri yang baru kini disandang Zulkifli Mohamed manakala Timbalannya, Mohd Fadzli Mohd Ramly.

Seramai 200 orang perwakilan dan pemerhati telah hadir bagi memeriahkan temasya demokrasi pemilihan jawatankuasa baharu sesi 2019-2022.

Perwakilan terdiri daripada jawatankuasa penyandang, perwakilan kawasan-kawasan yang absah dan sayap wanita (AWAN) serta pemuda.

Turut hadir merasmikan konvensyen, Presidennya, Mohamad Sabu yang juga merupakan Menteri Pertahanan.

Sementara itu, Zulkifli dalam satu kenyataan menzahirkan hasrat untuk meremajakan parti Amanah bagi mengharungi era undi 18 selain daripada terus komited membudayakan islah dan kaizen dalam mengetuai organisasi.

Beliau dan barisan kepimpinan baru juga bertekad untuk merampas Pahang daripada Barisan Nasional pada PRU15.