Abu Chin Peng selamat ditabur di Lumut, banjaran Titiwangsa

Menurut penyelaras kumpulan yang menguruskan kepulangan abu mayat berkenaan, Chan Kan Fook, 81, abu mayat Chin Peng dibawa pulang dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu dan sebahagiannya ditabur ke laut berhampiran Lumut.

Selepas enam tahun berada di “perantauan”, abu mayat mendiang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dilaporkan sudah kembali ke Perak pada 16 September lalu.

Astro Awani melaporkan, sebelum ini, Chin Peng meninggal dunia pada usia 90 tahun di sebuah hospital di Bangkok akibat sakit tua.

Menurut penyelaras kumpulan yang menguruskan kepulangan abu mayat berkenaan, Chan Kan Fook, 81, abu mayat Chin Peng dibawa pulang dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu dan sebahagiannya ditabur ke laut berhampiran Lumut.

“Sebahagian abu mayat Chin Peng ditaburkan di laut berhampiran Lumut, Perak serta sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat,” katanya memetik laporan portal Malaysiakini, pada Selasa.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilahirkan di Sitiawan, Perak pada 1924 dan tinggal dalam buangan di Thailand sejak Perjanjian Damai Hat Yai 1989.

Chin Peng pernah diburu pihak berkuasa Malaysia susulan pemberontakan PKM yang menyebabkan ramai rakyat negara ini terbunuh.

Beliau juga pernah memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia bagi dirinya sendiri dan PKM, menuntut kerugian serta menghalang kerajaan Malaysia atau ejen-ejen daripada mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai mereka.

Namun, selepas kematian Chin Peng, bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kerajaan sama sekali tidak akan membenarkan abu mayat Setiausaha Agung PKM itu dibawa balik ke negara ini.