Penyokong sambut kepulangan anggota PKR yang dipecat

Kumpulan yang terdiri kebanyakannya ahli PKR Pahang itu dilihat penuh bersemangat dalam memberi sokongan terhadap Zakaria dan memprotes keputusan Lembaga Disiplin PKR, Ahad lalu.

Sekumpulan penyokong kepada ahli PKR, Zakaria Abdul Hamid yang dipecat daripada parti itu berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menyambut ketibaannya dari Taipei malam tadi.

Malaysiakini melaporkan, kumpulan yang terdiri kebanyakannya ahli PKR Pahang itu dilihat penuh bersemangat dalam memberi sokongan terhadap Zakaria dan memprotes keputusan Lembaga Disiplin PKR, Ahad lalu.

Zakaria dilihat bermesra dengan penyokongnya kira-kira jam 8.45 malam dan menerima sorakan daripada mereka yang hadir.

“Saya agak terkejut. Saya hanya seorang pekerja parti yang kecil. Saya tak sangka kerja saya selama 20 tahun ini akan dapat sokongan sebegini,” kata Zakaria yang merupakan bekas ahli majlis pimpinan pusat PKR dan bekas ketua cabang PKR Bera.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Zakaria menegaskan beliau belum dimaklumkan mengenai pemecatannya atau tuduhan serius yang dilemparkan terhadapnya.

Zakaria juga menegaskan beliau akan menunggu surat rasmi daripada parti sebelum mengambil langkah seterusnya.

“Buat masa ini saya belum dapat surat. Bila saya dapat saya akan pertimbangkan dan balas,” jelasnya.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Ahmad Kassim pada Ahad lalu mengumumkan Zakaria, bersama-sama dengan ahli PKR Pahang Ismail Dulhadi dipecat daripada parti itu berkuat kuasa serta merta kerana disyaki terlibat dengan rasuah dan sogokan.

Beliau berkata lembaga itu membuat keputusan tersebut selepas dinasihatkan oleh SPRM melalui surat bertarikh 23 Oktober 2019.

SPRM kemudian mengakui terkhilaf dalam menghantar surat bagi menasihati PKR mengambil tindakan tatatertib terhadap Zakaria dan Ismail.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki pada Isnin berkata, surat itu ditujukan kepada agensi berkaitan kerajaan dan kementerian serta bukan kepimpinan PKR.

Memandangkan SPRM mengakui kesilapan tersebut, Zakaria berkata PKR kini perlu memohon maaf dan membersihkan namanya daripada dakwaan rasuah, terutamanya kerana tiada dakwaan rasmi dikenakan terhadapnya.

“(Saya) tuntut MPP mohon maaf secara terbuka untuk bersihkan nama saya dari tuduhan rasuah, dalam pandangan saya adalah tidak benar dan mungkin juga dalam pandangan SPRM,” katanya.

Siasatan SPRM dibuat berikutan laporan yang difailkan oleh Penyelaras Pemuda PKR (AMK) Ahmad Syukri Che Ab Razak pada September tahun lepas.

Zakaria, yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, dikatakan menawarkan kontrak bernilai RM20,000 dan peruntukan berjumlah sekurang-kurangnya RM300,000 dalam satu pertemuan dengan pemimpin tempatan pada 1 Sept, ketika beliau bertanding kerusi MPP PKR.

Menjawab dakwaan itu, Zakaria yang juga bekas setiausaha politik kepada Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata beliau hanya menjawab soalan daripada  ketua-ketua ranting PKR dari Bera mengenai prosedur untuk memohon projek-projek kecil yang diiklankan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Tiada tekanan atau ugutan bagi mendapat kelulusan projek dan tiada rasuah,” katanya.

Antara penyokong yang hadir termasuk Ketua Cabang PKR Bentong, Dasimah Zainudin, 61 yang membawa bersama-sama kira-kira 20 ahli.

“Dari awal kami mempertahankan (presiden parti) Anwar Ibrahim dari ketidakadilan.

“Oleh itu, adalah wajar hari ini kita berkumpul untuk mempertahankan Zakaria Hamid,” katanya.

Mereka yang hadir mengangkat sepanduk menyatakan sokongan terhadap  Zakaria dan membantah apa yang mereka tegaskan sebagai ketidakadilan yang bertentangan dengan prinsip parti.