Enam sebab PH kalah di PRK Tanjung Piai

Saya yakin kalau terus ada PRK selepas ini PH akan kecundang terus terusan kerana hingga ke saat ini saya lihat apa yang saya tulis ini masih belum berubah.

Walaupun lambat tapi seperti yang saya janjikan, saya juga ingin memberi pandangan mengapa PH kecundang di PRK Tg Piai.

Di sini saya gariskan enam sebab bagaimana PH boleh kecundang yang saya tegaskan bukan kerana pembangkang itu kuat.

1. Parti-parti dalam PH tidak bersatu. Saling bercakaran sesama sendiri. Konon berada di bawah PH tapi bekerja asing-asing! Mereka saling benci membenci, salah menyalah dan bergaduh antara satu sama lain macam anjing dengan kucing! Ya saya ulang bagaikan anjing dengan kucing!

2. Parti Bersatu egonya terlalu tinggi sewaktu musim PKR Tg Piai tanpa cermin diri. Sepatutnya mereka sibuk perbanyakkan dan kuatkan petugas parti, sebaliknya mereka sibuk mahu melanggar persefahaman PH bahawa Anwar Ibrahim sebagai PM ke-8 pada sekitar bulan Mei 2020 nanti. Dengan ego mereka mendesak TM jadi PM hingga tamat penggal. Ikut sangatlah gang kartel PKR tu! Sikap suka langgar persefahaman dan perjanjian ini adalah sikap buruk yang  boleh jatuh ke tahap pengkhianat. Rakyat perhati dan benci perangai begini. Tidak usahlah belajar perangai buruk itu dari sebuah parti yang pernah melanggar persefahaman atau perjanjian kerusi dalam PR  semasa PRU 13 dulu. Buruk kelakunya!

3. Parti-parti PH tidak sepenuhnya menumpu kepada PRK tersebut kerana masing-masing sibuk merebut kuasa dalam parti masing-masing. PKR berbalah sesama sendiri. Pemimpin Amanah pelbagai peringkat sibuk mempersiapkan chai kumpulan masing-masing. Yang berwang sudah pandai belajar sogok sana sogok sini. Jamu sana, jamu sini! Dah tak jauh beza dengan umno dulu dah! Pimpinan atasan pula buat pekak badak dan pejam sebelah mata! Parti ini bakal jahanam jika virus membahayakan ini tidak di hapuskan.

4. Kerajaan PH lemah dalam mengurus janji manifesto PH. Banyak dalih dan alasan yang membosankan. Nak sangat jadi kerajaan! Dari TM sampai ke Menteri semua perasan hebat dan ego dengan rakyat. Menteri-menteri ke hulu ke hilir dengan para kroni dan geng masing-masing. Dengan rakyat marhaen tunjuk lagak tak mesra dan macam sombong, membina halangan status dan birokrasi ciptaan sendiri. Ada menteri PH, semasa rakyat marhaen dari jauh datang berjumpa dengannya, terus arah, ” 15 minit je, saya nak gi makan ni”. Terkedu rakyat marhaen! Bila kroni datang…hehe…tidaklah 15 minit! Lebih! Kadang-kadang pula dilihat macam tidak boleh dikritik! Bila ahli-ahli bawahan kritik, mula melenting!! Sindrom inilah yang sedang melanda menteri-menteri PH sekarang atas alasan  nak jaga integriti konon! Hehe…ada can kerajaan sepenggal! Amallah terus!

5. Pegawai-pegawai menteri PH ada yang sombong! Ada yang melayan rakyat sambil lewa saja. Ada!

6. Perunding imej calon dari BERSATU lembap dan tidak kreatif. Calon dilihat tidak berwawasan dan tidak bermaya. Bukan silap calon tapi macam saya sebut perunding imej calon lembap atau bersikap ambil mudah!

Itulah antara sebab mengapa PH tewas di Tg Piai yang sepatutnya boleh menang. Dan saya yakin kalau terus ada PRK selepas ini PH akan kecundang terus terusan kerana hingga ke saat ini saya lihat apa yang saya tulis di atas itu masih belum berubah. Semua perasan hebat, maka lagak pun boleh tahan.

Itulah hakikat bukan persepsi!

Sazili Mohd Nor
Mantan Pimpinan Amanah Negeri Pahang

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Timur Daily