Kanak-kanak hilang di Gerik dah ditemui

Ahli keluarga Rawi membawa kanak-kanak itu ke pusat kawalan tempat kejadian di Pos Kemar untuk bertemu dengan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Seorang kanak-kanak lelaki Orang Asli yang dilaporkan hilang Rabu lalu, balik ke rumahnya dengan sendiri di Kampung Agek Hulu, Sungai Temenggor di sini pagi ini.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, berkata Rawi Semari, 10, dari Kampung Jarau Lama Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, ditemui oleh anggota keluarganya di lokasi dia dilaporkan hilang pada jam 11.30 pagi.

Beliau berkata ahli keluarga Rawi membawa kanak-kanak itu ke pusat kawalan tempat kejadian di Pos Kemar untuk bertemu dengan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

“Keadaannya stabil dan tiada kecederaan namun pihak kesihatan Pos Kemar akan merujuk kanak-kanak itu ke Hospital Gerik untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rawi dilaporkan hilang pada jam 1 pagi Rabu lalu setelah bapa saudaranya memaklumkan pada hari kejadian, kanak-kanak lelaki itu tidur dengan neneknya di dalam sebuah pondok, sebelum neneknya menyedari kehilangan Rawi, yang dikatakan mempunyai tabiat sering bangun pada waktu malam dan berjalan.

Polis Gerik yang menerima maklumat kejadian pada jam 4 petang hari yang sama, sebelum mengarahkan SAR dijalankan bermula jam 8 pagi semalam kerana jarak perjalanan ke tempat kejadian mengambil masa enam jam dengan menaiki bot serta berjalan kaki. – BERNAMA