Pusat pemindahan pertama Pahang dibuka di Rompin

Berdasarkan laporan terkini info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga sekeluarga dipindahkan sehingga jam 3 petang tadi.

Pusat pemindahan sementara (PPS) Balairaya Kampung Janglau, Rompin menjadi pusat pemindahan pertama dibuka di Pahang akibat lebat berterusan sejak malam tadi di daerah berkenaan.

Berita Harian Online melaporkan, berdasarkan laporan terkini info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga sekeluarga dipindahkan sehingga jam 3 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Nor Hisham Mohammad, berkata dua wanita dewasa bersama seorang kanak-kanak lelaki dipindahkan menggunakan lori dari Batu 7, Kampung Janglau ke balai raya itu.

“Hujan lebat mengakibatkan air melimpah ke kawasan kediaman sekali gus menyebabkan banjir. Anggota kita yang membuat pengawasan di kawasan itu memindahkan mereka sebelum keadaan menjadi lebih buruk,” katanya.

Beliau berkata mangsa akan dibenarkan pulang ke rumah mereka jika cuaca kembali pulih.

“Cuaca di sekitar daerah Rompin juga baik sepanjang hari ini dan kita akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan proses pemindahan penduduk dapat dilakukan segera apabila keadaan memerlukan,” katanya.