Ikut bapa pasang pukat, kanak-kanak dikhuatiri lemas

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Putih, Azhar Elmi Mustofar berkata anggota pasukan itu setakat ini belum dapat menemui kanak-kanak berkenaan.

Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun di Pasir Putih Kelantan dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan banjir.

Malaysiakini yang memetik NST melaporkan Muhamad Eilham Hasmadi menemani bapanya untuk memasang pukat berhampiran sawah petang semalam apabila dia dilaporkan terjatuh dalam tali air dan dihanyutkan.

Panggilan kecemasan dibuat pada pukul 6.40 petang sebelum operasi menyelamat dilancarkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Putih, Azhar Elmi Mustofar berkata anggota pasukan itu setakat ini belum dapat menemui kanak-kanak berkenaan.

“Operasi ini terpaksa dihentikan pada pukul 10 malam kerana cuaca buruk. Kami teruskan semula operasi pada kira-kira jam 8 pagi ini,” katanya.

Hujan lebat sejak Jumaat lalu menyebabkan banjir di beberapa daerah di Kelantan.

Setakat pagi ini, lebih 5,600 penduduk di negeri itu dipindahkan ke 18 pusat pemindahan sementara.