Susu masam makanan tradisional di Terengganu

Katanya, kebiasaan ayahnya akan makan sebagai lauk nasi yang dicampur bersama budu.

Susu masam merupakan salah satu daripada makanan tradisional yang jarang didengar dan sukar ditemui.

Ia diperbuat daripada susu kerbau yang diperam atau difermentasikan di dalam buluh dan kebiasaannya ditapaikan selama 1- 3 hari.

Menurut hantaran Facebook Hanafiah Ismail, beliau mengenali susu masam itu semenjak kecil, mungkin sebelum sekolah rendah lagi yang menjadi makanan tradisional keluarganya.

Katanya, kebiasaan ayahnya akan makan sebagai lauk nasi yang dicampur bersama budu.

“Susu masam memang enak, rasanya lemak lemak masam lebih kurang macam yogurt atau lebih lagi,” katanya.

Disebabkan sukar mendapatkan pada masa kini, beliau ke pasar ‘hari gelirang’ di Kuala Berang kerana difahamkan ia ada dijual di sana.

“Alhamdulillah ada. Saya membeli dua batang dengan harga RM13.00 sebatang. Saya memilih yang baru peram sehari.

“Setiba dirumah saya membukanya untuk memakan begitu sahaja sebatang sementara sebatang lagi saya bercadang untuk memakan bersama nasi,” katanya.

Beliau turut menzahirkan kegembiraan kerana selepas lebih 20 tahun tidak menikmati susu masam, pada hari tersebut beliau dapat mengecapi semula kesedapan susu masam.

Bagaimanapun beliau tidak pasti makanan tradisional itu turut ada di kawasan atau negeri lain.

“Saya tidak pasti sama ada susu masam ini juga ada di tempat lain. Setakat ini saya hanya temuinya di pasar ‘hari gelirang’ Kuala Berang dan di kampung kampung sekitar Hulu Terengganu.

“Satu lagi makanan tradisional yang insyaaAllah saya akan berusaha mencarinya ialah pelara,” katanya.

Kredit – Facebook Hanafiah Ismail