Zulkifli dilantik Pengerusi Pasfa

Beliau juga bertekad untuk membawa pembaharuan dan ketelusan yang mana merupakan aspirasi kerajaan pada hari ini.

Zulkifli Mohamed secara rasmi dilantik sebagai Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) yang baru menggantikan Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid.

Zulkifli berkata, sebagai pengerusi yang baru dilantik, sudah pasti beliau amat memerlukan sokongan dan dukungan semua pihak bagi memastikan agenda Pasfa terus relevan dalam membela nasib serta kebajikan ahli-ahlinya.

Beliau juga bertekad untuk membawa pembaharuan dan ketelusan yang mana merupakan aspirasi kerajaan pada hari ini.

“Banyak kerja dan perancangan yang ingin sama-sama kita laksanakan terutamanya berhubung dengan kepentingan dan kebajikan 22 buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang mewakili para peladang di seluruh negeri Pahang.

“Saya juga berharap segala isu-isu yang melingkari pertubuhan ini insyaAllah dapat diselesaikan secara bijaksana dan dengan semangat kekeluargaan,” katanya melalui satu kenyataan kepada Timur Daily.

Beliau yang juga baru diangkat sebagai Pengerusi Amanah Negeri Pahang dalam Konvensyen Amanah Pahang baru-baru ini mengakui ia merupakan tanggungjawab yang besar.

Bagaimanapun, beliau tetap beriltizam untuk sentiasa turun padang bagi mendengar sendiri masalah dan cabaran yang sedang dihadapi oleh para peladang.

Dalam pada itu, beliau juga yakin dan percaya tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan sekiranya semua sentiasa berlapang dada dan menjaga hubungan.

“Tanpa kita sedar Pasfa juga adalah medan untuk kita membantu orang Melayu dalam meningkatkan sosio-ekonomi.

“Justeru itu, saya sekali lagi menyeru agar kita berganding bahu bagi memenuhi visi dan misi Pasfa ke arah kemakmuran bersama,” katanya.

Beliau turut menzahirkan terima kasih kepada sembilan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pasfa yang memilihnya untuk dicadangkan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.