Azmin jumpa Anwar, janji akan hadir kongress

Azmin berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan lain selepas perjumpaan dengan Anwar.

Ketika spekulasi berhubung pergeseran dalam PKR, timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali dan penyokongnya dari kalangan pimpinan pusat yang dipilih akan bermesyuarat dengan presiden mereka, Anwar Ibrahim di parlimen petang ini.

Malaysiakini melaporkan, Anwar sebelum itu mempengerusikan mesyuarat biro politik PKR, sementara Azmin mengadakan perjumpaan dengan penyokongnya dari kalangan pimpinan parti.

“Saya dan majlis pimpinan pusat (MPP) yang dipilih dalam kongres parti tahun lalu akan bertemu dengan presiden parti sekarang.

“Kami akan bincang tentang kedudukan parti dan persiapan kongres yang akan bermula malam esok sehingga hari ahad,” kata Azmin kepada pemberita di parlimen.

“Kita akan bincang beberapa perkara penting dan saya nak nyatakan saya dan pimpinan akan hadir kongres,” tambahnya.

Ditanya sama ada beliau merujuk kepada kongres di Melaka, memandangkan terdapat spekulasi yang mengatakan ada kongres lain di Kuala Lumpur, Naib Presiden PKR Tian Chua berkata: “Hanya ada satu kongres”.

Azmin berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan lain selepas perjumpaan dengan Anwar.

Antara pemimpin PKR lain yang dilihat bersama Azmin termasuk Zuraida Kamaruddin, Rashid Hasnon, Amirudin Shari, R Sivarasa dan Elizabeth Wong.