Kanak-kanak lemas di Lipis ditemui

Mayat mangsa Nur Dhiya Aqilah Khairul Adli,6, ditemukan pasukan penyelamat empat kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Selepas empat hari hilang dibawa arus deras Sungai Lipis, mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ditemukan hari ini.

Mayat mangsa Nur Dhiya Aqilah Khairul Adli,6, ditemukan pasukan penyelamat empat kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Shahrul Nizam Nasir berkata, mayat mangsa ditemukan pada pukul 8.04 pagi dalam keadaan terapung.

“Semasa ditemukan oleh pasukan penyelamat mayat mangsa dalam keadaan terapung dan tersangkut pada pokok.

“Keadaan fizikal mayat mangsa adalah cukup sifat dan kita telah serahkan mayat mangsa kepada polis pada pukul 8.25 pagi,”katanya di sini, hari ini.

Isnin lalu seorang kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas terjatuh dan dibawa arus deras di Sungai Lipis berhampiran Kampung Penjom di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa Nur Dhiya Aqilah Khairul Adli,6, dipercayai bermain ditebing sungai berkenaan bersama rakan-rakannya sebelum terjatuh.