Tarikh mengundi PRK Kimanis 18 Januari depan

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Januari manakala hari mengundi awal pada 14 Januari.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Januari 2020 sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabah.

Sinar Harian melaporkan, Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Januari manakala hari mengundi awal pada 14 Januari.

“Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam pada17 Januari,” katanya.

Menurutnya, tarikh bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara pada 16 Disember sehingga 2 Januari.

“SPR akan menggunakan Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd DUN (Dewan Undangan Negeri) Banir, Beaufort sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Undi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR di sini hari ini.

Beliau berkata, untuk memudahkan proses penamaan calon, SPR menggesa bakal calon agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan pejabat suruhanjaya itu.

“Proses semakan awal boleh dibuat mulai 26 Disember melalui laman portal SPR.

“Bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar, bakal calon turut dinasihati membuat pembayaran deposit lebih awal,” katanya.

PRK Kimanis diadakan berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya menolak kemenangan penyandangnya Datuk Seri Anifah Aman sebagai tidak sah dan terbatal.

Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan Anifah selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya sekali gus membenarkan petisyen pilihan raya dikemukakan calon Parti Warisan, Datuk Karim Bujang.

Pada pilihan raya umum lalu, Anifah memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Jaafar Ismail memperoleh 1,300 undi.