MTAABS santuni golongan memerlukan

KUANTAN – Masjid Tengku Ampuan Afzan Bandar Satelit(MTAABS) terus menyantuni golongan yang memerlukan dalam program ‘MTAABS Prihatin’.

Kali ini MTAABS menganjurkan Program Bantuan Persekolahan Sesi Tahun 2020 dan turut mendapat kerjasama daripada Unit Bahasa & Sains Sosial, Universiti Tenaga Nasional, Kampus Muadzam Shah.

Menurut pengerusi MTAABS iaitu Dr. Khairulnizam Mat Karim, program ini merupakan program kali ketiga berturut-turut yang mula dianjurkan semenjak tahun persekolahan 2018 lagi.

Pada tahun ini jumlah penerima meningkat iaitu seramai 50 orang berbanding 44 dan 13 orang penerima sahaja pada tahun 2019 dan 2018.

Beliau menambah, jumlah bantuan yang disumbang juga meningkat sebanyak RM300 seorang berbanding RM 250 pada tahun sebelumnya.

Menurut pengarah program iaitu Ust. Azizul Abdullah yang turut merupakan Imam 1 MTAABS, matlamat utama program ini adalah untuk meringankan beban ibubapa golongan sasaran dalam menyediakan barangan keperluan sekolah anak masing-masing.

“Oleh itu masjid kali ini telah memperuntukan sebanyak RM 17000 bagi tujuan ini”.

“Selain bantuan kewangan pihak masjid juga turut menyediakan bantuan keperluan baranganan persekolahan secara percuma seperti pakaian sekolah, beg, alat tulis dan kasut,” tambah beliau.

Rata-rata penerima amat bersyukur dan berterima kasih atas usaha murni pihak masjid dan kepada masyarakat yang menyumbang sehingga program kebajikan seperti ini dapat dilaksanakan.