SPAN taja RM114 ribu pasang 2,280 Pili Cekap Air di masjid, rumah B40 seluruh negara

KUANTAN – Sejumlah 2,280 pili air konvensional di masjid utama dan rumah golongan B40 terpilih di negara ini, akan ditukar kepada Pili Cekap Air membabitkan kos RM114,000.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Wilayah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ir Mohd Jalaludin berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,000 pili di 10 masjid telah ditukar iaitu di Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor.

Manakala bagi rumah golongan B40 sebanyak 176 di kawasan Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Pandan di sini, telah ditukar sementara bakinya akan dilaksanakan Januari depan.

“Inisiatif ini dibuat bagi tujuan memperkenalkan Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA) yang mampu memberikan penjimatan sehingga 70 peratus penggunaan air.

“Menggunakan Pili Cekap Air di bawah label SPPCA tiga bintang, air yang dikeluarkan hanya 1.5  hingga 4 liter berbanding 8 hingga 10 liter untuk pili konvensional, bagi tempoh sama. Malah tiada isu air perlahan kerana air tetap keluar laju seperti biasa.

“Selain 10 masjid ini, SPAN juga merancang untuk menukar kesemua pili di semua masjid utama negeri Melaka, Johor, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi membantu pengurusan masjid menjimatkan penggunaan air,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Khidmat Masyarakat SPAN di Masjid Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Pada program tersebut, sejumlah 116 pili konvensional masjid itu telah ditukar kepada Pili Cekap Air berlabel tiga bintang.

Hadir sama, Imam 2 Masjid Negeri, Mohd Saiful Bahari Kasim; Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri (BPI) SPAN, Abdull Sukor Ismail dan Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Penggunanya, Mohd Fazil Ismail.

Mohd Fazil berkata, selain masjid negeri, turut mendapat manfaat menerusi program khidmat masyarakat pili percuma ini ialah 880 rumah golongan B40 seluruh negara.

“Bagi program pemasangan di rumah-rumah ini kita akan bekerjasama dengan operator air setiap negeri yang mana SPAN akan membuat edaran satu kampit beras bagi sebuah rumah yang terpilih” katanya.

SPAN juga telah menganjurkan seminar berkaitan SPPCA melibatkan penggiat industri di kawasan Perindustrian Gebeng dan Malaysia China Kuantan Industrial Park (MCKIP) berkenaan penggunaan produk cekap air bagi membantu mengatasi isu kekurangan bekalan air di kawasan itu, pagi tadi.

Mewakili Masjid Sultan Ahmad Shah, Saiful Bahari berkata usaha murni SPAN amat dihargai dan didoakan ia dipermudahkan proses pemasangan di seluruh negara agar dapat memanfaatkan lebih ramai lagi pengguna dan pihak pengurusan masjid.

Tamat