‘SUMPAHISME’ CANDU BARU POLITIKUS MELAYU

Sekali lagi sumpah mengambil tempatnya mengisi lompong kegusaran mengisi sebuah kepercayaan. Itu adalah kerana pada ketika itu tiada lagi wujudnya mahkamah timbang tara yang praktisnya jauh lebih praktikal.

Beberapa tahun kebelakangan ini negara kita Malaysia riuh dengan mubahalah atau pun lebih dikenali sebagai sumpah laknat dikalangan rakyat terbanyak.

Siapa yang terlepas dari menyaksikan bagaimana sosok bernama Saiful Bukhari Azlan yang telah sebanyak 2 kali melafazkan sumpah tersebut iaitu sekali di Masjid Wilayah dan kali keduanya kononnya dihadpan Kaabah.

Tak terhenti disitu, trio Datuk “K” melalui Shazryl Eskay Abdullah juga pernah melakukan mubahalah menuju sasaran yang sama dengan Saiful Bukhari iaitu Anwar Ibrahim.

Semua yang dinyatakan diatas bukan keseluruhan premis yang mahu disampaikan. Ianya sekadar naratif kesan dari “sumpahisme” yang melatari tumbesaran masyarakat melayu.

Sekian lama kita dihidangkan kisah bangsawan tidak kira atas nama dongeng atau pun lagenda. Siapa tak kenal nama Si Tanggang. Kalau di Indonesia namanya Malin Kundang. Jika di Brunei namanya Nakhoda Manis.

Namanya berbeza tapi hujung ceritanya anak derhaka akan ibu lalu disumpah menjadi batu. Nuansa sumpah ini sebenarnya kerap membatukan pemikiran walaupun bertujuan mahu mendidik.

Cuma yang banyak hari ini anak yang disumpah menjadi batu tidak pun mengkaku, tetapi makin berkepala batu. Mendidik seharusnya mengikut zaman.

Sumpahisme terus menjalar akarnya dizaman kanak-kanak kita. Kisah seorang wanita anak kacukan lelaki Indonesia dan wanita cina mendewasakan rakyat Malaysia. Siapa tidak kenal dengan Mahsuri.

Mahsuri isteri kepada Wan Darus bukanlah wanita biasa-biasa. Dia menjadi rebutan lelaki yang berada di Langkawi. Namun selepas kelahiran Wan Hakim, muncul pula pemuda Acheh bernama Deramang yang berkhidmat dengan ayah Mahsuri.

Manusia tak pernah lari dari hasad dengki. Langit tak selalunya cerah. Episod konspirasi fitnah membunuh karektor bermula apabila Mahsuri dituduh mempunyai hubungan dengan Deramang. Lalu dia dihukum mati.

“Aku redha matiku jika benar aku bersalah tetapi jika aku dianiaya, aku haramkan darah aku mengalir ke bumi ini. Aku bersumpah, bumi Langkawi tidak akan aman dan menjadi padang jarak padang tekukur selama 7 keturunan”.

Begitulah lafaznya ketika tubuhnya lemah dihunus tombak. Mengalirlah darah putih.

Sekali lagi sumpah mengambil tempatnya mengisi lompong kegusaran mengisi sebuah kepercayaan. Itu adalah kerana pada ketika itu tiada lagi wujudnya mahkamah timbang tara yang praktisnya jauh lebih praktikal.

Asasnya kita cuba mengaburi pemikiran dengan mitos yang kononnya akan direspon secara magis. Begitulah yang mahu ditanam para mubahalah yang sudah melafazkannya dalam konteks negara kita dewasa ini.

Apakah Najib Razak juga berharap darah putih atau pun dia boleh menjadi batu dengan sumpah yang dilafazkannya? Atau sekadar mahu dilihat suci kerana masih tak dilaknat tuhan?

Ingat, agama itu bukan magis, agama itu ilmu yang takkan habis. Lihat bagaimana Nabi Muhammad yang buta huruf itu diturunkan kalimah pertama buatnya adalah Iqra’.

Mungkin dengan sumpah sahaja boleh membuatkan masyarakat memujanya. Sama seperti dia dilaksanakan seperti “Robin Hood”, si pencuri yang merompak wang kerajaan untuk membantu warga miskin.

Tapi Robin Hood ketika itu adaah oposisi kepada kerajaan bukannya perdana menteri. Isteri Robin Hood pun tak pandai merajuk dan dihadiahkan wang yang dirompak olehnya melainkan diberikan kepada rakyat sahaja.

Konklusinya sumpah kini menjadi “isme” yang diyakini jalan membebaskan diri dari apa jua jenis kesalahan walhal seharusnya tidak begitu. Bertambah lagi sumpah yang si pelafaznya sendiri terpaksa merujuk pakar akan tandatangannya.

Sangat ironi dan kontradik.

Muhammad Syafiq Azmi