KPKT sedia tempat khas merokok tahun depan

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya akan meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk menyediakan kawasan merokok itu di kawasan yang sesuai.

Susulan penguatkuasaan larangan merokok di kedai makan pada 1 Januari ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menyediakan tempat khas merokok.

Malaysiakini melaporkan, menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, pihaknya akan meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara untuk menyediakan kawasan merokok itu di kawasan yang sesuai.

“Perancangan ini akan dilaksana secara berperingkat pada tahun depan di PBT yang terplih (terlebih dulu),” kata Zuraida dalam kenyataan, hari ini.

Larangan merokok di premis makanan bermula pada 1 Januari tahun ini tetapi Kementerian Kesihatan memberikan “tempoh penguatkuasaan pendidikan” sehingga akhir tahun ini.

Pada 20 Disember lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye tempoh itu tidak akan dilanjutkan dan penguatkuasaan akan bermula pada 1 Januari ini.

Katanya, sejumlah 5,000 pegawai kesihatan akan menjalankan pemeriksaan dan mengenakan denda sebanyak RM250 kepada perokok yang mengingkari peraturan itu.

Dalam pada itu, Zuraida turut memaklumkan beliau telah melawat kawasan khas merokok yang disediakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang berjarak tiga meteri dari tempat makan awam.

“Ia mematuhi arahan ditetapkan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Katanya lagi, pihaknya juga akan meminta PBT menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Larangan Pembuangan Sampah kepada perokok yang membuang puntung rokok secara merata-rata.

“Kami berharap para perokok memberi kerjasama agar bersama-sama menjaga kebersihan persekitaran,” katanya lagi.