‘Kerajaan negeri harus guna cara rundingan menang-menang’ – Fuziah Salleh

Fuziah berkata, meskipun kebun haram tersebut terletak berdekatan dengan kawasan tadahan air, atas "dasar perikemanusiaan” mereka sepatutnya dibenarkan menunggu untuk menuai hasil tanaman mereka terlebih dahulu.

Pengerusi PH Pahang, Fuziah Salleh meluahkan kekesalan ke atas pengusiran pekebun sayur di Cameron Highlands oleh kerajaan Pahang semalam yang menurutnya, boleh dikendalikan dengan lebih baik.

Malaysiakini melaporkan, Fuziah berkata, meskipun kebun haram tersebut terletak berdekatan dengan kawasan tadahan air, atas “dasar perikemanusiaan” mereka sepatutnya dibenarkan menunggu untuk menuai hasil tanaman mereka terlebih dahulu.

“Tambahan pula waktu ini merupakan musim perayaan. Dan anak-anak mereka akan mula bersekolah.

“Tentu sekali hasil tuaian mereka diperlukan untuk membiaya persekolahan awal tahun anak-anak mereka nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, petani tersebut boleh ditempatkan semula di tanah lain, serta diberi latihan “amalan pertanian yang baik” antaranya untuk mengelakkan penggunaan racun terlarang.

“Kerajaan negeri seharusnya menggunakan cara rundingan menang-menang didalam hal ini,” katanya lagi.

Semalam, kerajaan Pahang mengarahkan pekebun sayur haram dekat Sungai Ichat di Kuala Terla, yang merupakan kawasan tadahan air di Cameron Highlands, mengosongkan tanah di situ.

Operasi penguatkuasaan yang dinamakan Ops Lestari 2 itu dijalankan secara bersama oleh Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang,Dr Sallehuddin Ishak, berkata kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan aspek keselamatan Loji Air Kuala Terla yang merupakan loji air terpenting dan terbesar, menyalurkan lebih 70 peratus kepada keperluan air bersih di Cameron Highlands.

Bagaimanapun, Naib Presiden MCA Ti Lian Ker mendakwa tindakan itu atas arahan oleh kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri untuk meneruskan dengan Ops Lestari 2.

Seramai tujuh orang, termasuk bekas anggota parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan ditahan polis susulan protes terhadap operasi penguatkuasaan pengosongan itu semalam.