Penduduk, pelancong sokong musnah kebun haram di Cameron Highlands

Bagi mereka, operasi ini dapat memastikan tanah tinggi Cameron Highlands dapat dikekalkan kelestarian tanpa sebarang penerokaan tanah secara haram.

Penduduk dan pelancong di Cameron Highlands menyokong langkah Kerajaan Negeri Pahang memusnahkan kebun sayur haram bagi melestarikan kembali pusat peranginan itu sebagai destinasi pelancongan tersohor di negara ini.

Bagi mereka, operasi ini dapat memastikan tanah tinggi Cameron Highlands dapat dikekalkan kelestarian tanpa sebarang penerokaan tanah secara haram.

Menurut seorang penduduk, Saime Abdul Aziz, 58, tindakan Kerajaan Pahang meminta tanah itu dikosongkan adalah langkah tepat dalam usaha membanteras peneroka tanah secara haram di negeri ini.

“Saya rasa tindakan yang diambil kerajaan ini perlu kerana ia bukan sahaja dapat menjaga alam sekitar malah mengurang impaknya terhadap sungai-sungai yang berdekatan dengan kebun-kebun haram ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau yang tinggal di Tringkap di sini berkata, operasi ini perlu dilakukan bagi mengelakkan sungai berhampiran terus tercemar dengan aktiviti pertanian akibat penggunaan racun dan baja.

“Saya sokong langkah kerajaan ini kerana sudah berapa lama pekebun ini tidak membayar cukai sehingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan. Jadi kerajaan kena ambil balik,” katanya.

Sementara itu, pemandu teksi G. Mohan, 66, berkata, kebanyakan pelancong dari luar negara yang datang ke Cameron Highlands kerana menyukai hutan hujan yang masih ada di sini.

“Jadi kita sebagai rakyat di negeri ini perlu menjaga alam sekitar dan tidak boleh menceroboh hutan sesuka hati. Saya tidak mahu satu hari nanti pelancong luar negara tidak datang melancong ke sini kerana kerakusan rakyat memusnahkan hutan.

“Apabila kerajaan membuat operasi memusnahkan kebun-kebun haram ini, saya sokong sangat kerana secara tidak langsung dapat menjaga kelestarian alam sekitar di Cameron Highlands,” katanya.

Bagi pelancong dari Johor, Nurul Asmaliza Mohd Osman, 34, dia bersama keluarganya memang suka melancong ke Cameron Highlands kerana keadaan cuaca yang sejuk serta banyak hutan yang masih terpelihara.

“Apabila saya mengetahui kerajaan melaksanakan operasi memusnahkan kebun-kebun haram ini saya sangat setuju. Kerana jika dibiarkan lama kelamaan hutan yang ada di sini habis dimusnahkan.

“Sekarang pun suhu di Cameron Highlands tidak berapa sejuk seperi dulu disebabkan pencerobohan hutan oleh pekebun haram ini. Sebab itu, harapan saya supaya operasi seperti ini dapat dilaksanakan secara berterusan pada masa akan datang,” katanya.

-Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP)