400 kanak-kanak kurang berkemampuan terima bantuan persekolahan

Penerima yang terpilih terdiri daripada keluarga miskin tegar, OKU dan juga Orang Asal.

Bagi keluarga yang kurang berkemampuan, perbelanjaan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan bagi sesi baru mungkin menjadi satu bebanan.

Namun bebanan itu boleh menjadi ringan dengan bantuan atau sumbangan daripada pihak yang prihatin dengan permasalahan mereka.

Pengerusi Mawaddah, Khairul Bahri Abdul Samad, berkata, seramai 400 kanak-kanak sekolah rendah yang terpilih melibatkan tiga Dun di Parlimen Rompin telah dibantu.

Bantuan kepada kanak-kanak di Dun Tioman, Dun Muadzam Shah dan Dun Bukit Ibam itu diberikan dalam bentuk kelengkapan persekolahan serta bantuan kewangan.

“Penerima yang terpilih ini terdiri daripada keluarga miskin tegar, OKU dan juga Orang Asal.

Khairul Bahri sedang membantu seorang kanak-kanak memilih baju sekolah.

“Kita harap dengan bantuan atau sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan beban mereka,” katanya kepada Timur Daily.

Ia adalah sumbangan daripada Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan yang dikelolakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh.

Turut menyumbang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan NGO Jingga 13.

Menurut Khairul Bahri, sebagai sebuah NGO, sudah menjadi objektif untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

Beliau turut menyeru lebih banyak NGO tampil untuk membela golongan seperti ini dalam meringankan beban tanggungan mereka.