Hadi: Sumpah laknat tiada dalam undang-undang syariah Islam

Isteri boleh melakukan sumpah laknat di masjid bagi menafikan tuduhan tersebut.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa sumpah laknat yang dilakukan bekas perdana menteri Najib Razak bagi menafikan penglibatannya dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu tiada dalam undang-undang syariah Islam.

Malaysiakini yang memetik Free Malaysia Today, jelas Hadi, undang-undang syariah hanya memperuntukkan ‘li’an’ dalam Islam, iaitu sumpah yang hanya boleh dilakukan sekiranya terdapat tuduhan daripada suami bahawa isterinya berzina dengan orang lain. 

Isteri boleh melakukan sumpah laknat di masjid bagi menafikan tuduhan tersebut.

Sesiapa yang melakukan sumpah li’an akan menerima balasan Tuhan sekiranya mereka berbohong.

Bagaimanapun, Hadi berkata tiada yang menghalang sesiapa pun daripada melakukan sumpah.

“Sepatutnya bila orang yang tuduh tidak ada saksi, (individu yang dituduh) senyap sahaja tidak perlu bersumpah. Itu kaedah yang ada dalam syarak,” katanya seperti dipetik laporan Free Malaysia Today.

Pada 20 Disember lalu, Najib melakukan sumpah laknat bagi menafikan tuduhan bahawa dia telah mengarahkan supaya Altantuya Shaariibuu dibunuh.

Najib melakukan sumpah tersebut di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Hadi juga memberi amaran, jika sering melakukan sumpah sedemikian akan menimbulkan rasa amarah Tuhan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan seorang penonton ketika menghadiri sebuah acara yang bertanya pendapatnya berkenaan sumpah laknat yang dilakukan Najib.

Sumpah laknat itu dibuat selepas bekas anggota pasukan khas polis (UTK), Azilah Hadri yang disabitkan bersalah membunuh Altantuya mendakwa arahan untuk membunuh warga Mongolia itu datang daripada Najib yang ketika kejadian merupakan timbalan perdana menteri.

Melalui akuan berkanun (SD) dari Penjara Kajang, Azilah mendakwa Najib meyakinkannya bahawa Altantuya adalah seorang perisik asing yang menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara.

SD Azilah difailkan bersama permohonan bagi mendapatkan semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap hukuman gantung sampai mati yang dihadapinya bersama seorang lagi bekas anggota UTK,  Sirul Azhar.

Sirul melarikan diri ke Australia apabila Mahkamah Rayuan membebaskan kedua-dua tahanan tersebut pada tahun 2013 dan kini berada di pusat tahanan imigresen di Sydney Australia.