Penetapan tarikh khusus peralihan kuasa perlu dibincangkan – Anwar Ibrahim

Walaupun mengakui proses itu sudah diputuskan Majlis Presiden PH sebelum ini, Presiden PKR itu menjelaskan penetapan tarikh khusus perlu dibincangkan berikutan wujud kebimbangan ada percubaan luar untuk menggugat keputusan awal itu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan membincangkan soal tarikh khusus pelan peralihan kuasa.

Berita Harian Online melaporkan, walaupun mengakui proses itu sudah diputuskan Majlis Presiden PH sebelum ini, Presiden PKR itu menjelaskan penetapan tarikh khusus perlu dibincangkan berikutan wujud kebimbangan ada percubaan luar untuk menggugat keputusan awal itu.

“Ada pandangan begitu tetapi seperti dipersetujui, ia harus dibincang antara saya dengan Perdana Menteri dan sebaiknya dalam forum Majlis Presiden untuk tentukan tarikh kepastian.

“Ia wajar dibincang dalam suasana cukup baik, tidak perlu dihangatkan isu ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Murid Cemerlang UPSR 2016-2019 Sekolah Tamil Selangor anjuran Yayasan OMS di sini, hari ini.

Beliau mengulas kontroversi berhubung proses peralihan kuasa termasuk desakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) supaya Sekretariat PH menetapkan tarikh khusus dalam pelan itu.

Dr Mahathir sebelum ini mengumumkan peralihan kuasa kepada penggantinya akan dilaksanakan selepas berakhir Sidang Kemuncak Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020, akhir tahun ini.

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, membantah tindakan ketenteraan dan campur tangan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran.

“Saya tidak bersetuju tindakan mana-mana negara untuk menyerang atau menceroboh negara lain, itu prinsipnya. AS tidak boleh bertindak.

“Kalau ada keputusan mesti multilateral, bersama dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Kalau tidak, kuasa besar boleh ceroboh mana sahaja, saya tidak setuju.

“Apa yang kita bimbangkan ialah tercetus peperangan yang tidak akan membantu mana-mana negara. Saya lihat negara rantau Arab dan Iran banyak usaha untuk menghancurkannya, mengapa harus diteruskan begini,” tegasnya.

Mengulas kontroversi berhubung pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular, Anwar meminta semua pihak terbabit berhenti menghangatkan isu berkenaan.

“Leraikan kontroversi dengan mengadakan dialog, jangan tunjukkan dengan kekuatan kerana akan ada tindak balas.

“Ia seolah-olah mencuit perasaan dan menghina. Ini tidak baik. Bukan ini maksud orang yang menentang (tulisan Jawi) tapi orang yang baca melihat ‘nak kenal sedikit huruf pun jadi masalah besar’.

“Jika ini berlaku, negara akan rugi sebab sepatutnya bicara soal mutu pendidikan. Persaingan yang berlaku dalam konteks dunia dan keperluan menguasai bidang pendidikan patut diutamakan iaitu meningkatkan mutu pendidikan,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Anwar menegaskan kefahaman terhadap keperluan untuk menguasai bahasa kebangsaan tanpa mengenepikan bahasa lain mampu mengurangkan suhu perbalahan dalam isu bahasa.

“Semua pihak perlu bersikap toleran dalam soal pendidikan khususnya dalam pengajaran dan meningkatkan mutu penguasaan bahasa kebangsaan

“Kalangan ahli politik pula jangan meningkatkan lagi suhu panas dalam bidang pendidikan sehingga menimbulkan kebimbangan kepada rakyat,” katanya.