Pilih calon yang tahu kehendak penduduk Sabah – Shafie Apdal

Tanpa berselindung ketua menteri Sabah itu menjelaskan penduduk Sabah sudah berpuluh-pukluh tahun merasai bagaimana BN mentadbir negeri berkenaan.

“Cukuplah, jangan beritahu kami apa yang kena buat, tak perlu ajar apa yang kami mahu. Kami tahu apa yang kami mahu di Sabah,” kata Mohd Shafie Apdal kepada pengundi semasa meyakinkan mereka penduduk negeri itu tidak memerlukan calon dari parti berpangkalan di Semenanjung Malaysia.

Tanpa berselindung ketua menteri Sabah itu menjelaskan penduduk Sabah sudah berpuluh-pukluh tahun merasai bagaimana BN mentadbir negeri berkenaan.

“Biarkan kami uruskan kehidupan kami sendiri di Sabah ini,” katanya pada majlis sambutan Krismas dan tahun baru di pekan Membakut semalam.

Kempen untuk PRK Kimanis bermula secara rasmi selepas calon yang bertanding diisytiharkan oleh Surujanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam.

PRK kali ini menyaksikan kerusi yang sebelum ini diisi oleh Anifah Aman akan direbut calon Warisan, Karim Bujang, dan calon Umno-BN Mohamad Alamin.

SPR menetapkan 18 Jan ini untuk hari pengundian, manakala pengundian awal empat hari sebelum itu.

Menurut Mohd Shafie, beliau merayu kepada pengundi Kimanis agar memilih calon yang tahu kehendak penduduk Sabah.

PM mahu Umno mati

“PRK kali ni, saya merayu kepada orang Sabah, supaya memilih orang Sabah, hati dan jantungnya Sabah, mukanya orang Sabah; bukannya mukanya orang Sabah, tapi hatinya Umno Kuala Lumpur,” katanya.

Adun Senallang itu menambah PRK Kimanis adalah tempat untuk penduduk Sabah menyatakan kepada dunia bahawa mereka tidak mudah dibeli dengan kata-kata ucapan dan janji pembangunan seperti pembinaan jambatan.

Katanya Sabah kini ketinggalan dari segi kemudahan asas dan infrastruktur semasa ditadbir BN sebelum ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri – yang ditadbir Warisan – akan berusaha sedaya upaya membangunkan Sabah walaupun berdepan dengan masalah kekangan kewangan.

“Kita bukan banyak duit, tapi kita akan uruskan,” katanya.

Beliau juga menjelaskan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mahu agar Umno dibiarkan mati di Semenanjung Malaysia.

Justeru, katanya, tidak ada sebab mengapa pengundi Kimanis pula mahu meneruskan hayat parti berkenaan.

Untuk rekod PRK kali ini adalah yang pertama dihadapi Warisan secara langsung walaupun yang kedua untuk Sabah. Pada 11 Mei tahun lalu PRK Sandakan diadakan tetapi PH menurunkan calon DAP.

Pembangkang pula menghadapi PRK Kimanis dengan membawa semangat kemenangan mereka di Tanjung Piai pada 16 Nov 2019.

Selepas kejatuhan BN pada Mei 2018, berlaku penghijrahan besar-besaran dalam kalangan wakil rakyat parti itu.

Ketika ini hanya Bung Moktar Radin dan Musa Aman (masing-masing ahli parlimen Kinabatangan dan Adun Sungai Sibuga) menjadi wakil rakyat Umno di Sabah.