AG, polis akan buat kenyataan bersama isu video intim kaitkan Azmin

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed yang memaklumkan perkara itu, memberitahu pihaknya telah menerima laporan analisis video berkenaan dari pakar luar negara dan telah menyerahkan kertas siasatan berhubung isu sama kepada AGC pada hujung tahun lalu.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dan pihak polis akan membuat satu kenyataan media bersama berhubung siasatan video intim yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohammed Azmin Ali, dalam masa terdekat.

Malaysiakini melaporkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed yang memaklumkan perkara itu, memberitahu pihaknya telah menerima laporan analisis video berkenaan dari pakar luar negara dan telah menyerahkan kertas siasatan berhubung isu sama kepada AGC pada hujung tahun lalu.

“Betul, kita telah terima (laporan pakar) hujung tahun lepas, dan kertas siasatan pun dah dihantar kepada pihak AG. Dan pihak AG akan buat kenyataan media bersama-sama PDRM dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Meraikan Atlet PDRM Sukan SEA 2019 di mes pegawai kanan PDRM, di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

November lalu, Huzir berkata PDRM yakin identiti lelaki yang dirakam dalam video ranjang tersebut akan diketahui sebelum hujung tahun lalu setelah ia dihantar ke firma di sebuah universiti di Amerika Syarikat untuk dianalisis oleh seorang pakar forensik digital.

Katanya, langkah itu dibuat untuk mengetahui ketulenan serta identiti yang terlibat dalam rakaman berkenaan.

Sementara itu, disoal berkenaan perkembangan kes dakwaan salah laku seksual melibatkan Yusoff Rawther dan Presiden PKR Anwar Ibrahim, Huzir memaklumkan satu perjumpaan akan diadakan dengan AG petang ini berhubung kes tersebut.

Ia akan dibincangkan sekali dengan kes membabitkan Azmin, serta kes pengakuan berkanun (SD) Azilah Hadri yang mendakwa pembunuhan Altantuya Shariibuu dilakukan atas arahan bekas perdana menteri, Najib Razak.

“… Pegawai dari bahagian siasatan terkelas, petang ini berjumpa dengan pihak AG. Mereka membincangkan ketiga-tiga kes berkenaan petang ini,” katanya.

Disoal lanjut mengenai apakah Anwar akan dipanggil untuk melakukan ujian poligraf sebagaimana yang dijalankan ke atas Yusoff, Huzir berkata perkara itu dan semua hal lain akan dibincangkan petang ini dengan AG.

Yusoff pada 4 Disember mendakwa Anwar mencabulnya Oktober lalu yang membawa kepada polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat mencabul kehormatan.

Yusoff kemudiannya pada 17 Disember telah membuat ujian poligraf, namun polis berakta ujian itu tidak boleh digunakan sebagai bukti di mahkamah, sebaliknya hanya untuk menentukan jika kenyataan diberikan kepada polis betul atau pun tidak.

Anwar menafikan dakwaaan Yusoff itu, dan telah memberikan keterangannnya pada 12 Disember.