Skandal 1MDB: Saya bukan dalang, kata Jho Low

Katanya, dia hanya bersetuju untuk membantu sebagai pencadang dan pengantara bagi syarikat-syarikat itu kerana "hubungan baiknya dengan pengusaha asing dan pembuat keputusan yang berpengaruh.

Ahli perniagaan yang menjadi buruan Low Taek Jho menolak dakwaan bahawa dia sebagai dalang di sebalik penipuan berbilion-bilion dolar dana 1MDB.

Sebaliknya, Low berkata, dirinya menjadi sasaran perhatian media yang luar biasa kerana dia bukan “ahli politik”.

Dalam temu bual dengan Straits Times (ST) Singapura, Low berkata, perhatian kurang diberikan kepada tokoh-tokoh lain seperti tokoh perbankan antarabangsa dan peguam yang ditugaskan menasihati firma pelaburan negara itu dan bekas anak syarikatnya SRC International.

Mempertahankan bahawa dia tidak pernah memegang sebarang jawatan yang membolehkannya membuat keputusan di kedua-dua syarikat itu, Low menegaskan bahawa pihak pengurusan, lembaga pengarah dan pemegang saham 1MDB dan SRC International seharusnya melakukan ‘usaha wajar’ atau ‘due diligence’ terhadap semua cadangan dan mempunyai hak untuk menolaknya.

“Dakwaan bahawa saya ‘dalang’ adalah salah. Saya tidak pernah memegang sebarang jawatan yang membolehkan saya membuat keputusan muktamad dalam 1MDB atau SRC.

“Peraturan tadbir urus dan etika korporat menghuraikan kewajipan dan tanggungjawab pihak pengurusan, lembaga dan pemegang saham dari segi kelulusan, usaha wajar dan fungsi lain, termasuk, antara lain, hak untuk menolak cadangan dan meletakkan jawatan dalam syarikat,” katanya.

Katanya, dia hanya bersetuju untuk membantu sebagai pencadang dan pengantara bagi syarikat-syarikat itu kerana “hubungan baiknya dengan pengusaha asing dan pembuat keputusan yang berpengaruh.

“Dalam kes 1MDB dan SRC, terdapat juga tokoh perbankan antarabangsa, peguam dan golongan profesional bebas lain yang menasihati dan menyokong syarikat dalam proses tertentu,” katanya kepada ST dalam temu bual yang disiarkan hari ini.

“Hakikatnya, saya adalah sasaran mudah memandangkan saya bukan ahli politik,” katanya.

Low yang dilahirkan di Pulau Pinang, dan lebih dikenali sebagai Jho Low, sedang dalam penyiasatan di beberapa negara, termasuk Singapura, Malaysia dan Amerika Syarikat.

Dia juga berdepan pelbagai pertuduhan jenayah kerana peranannya dalam skandal kewangan 1MDB.

Dia dipercayai menjadi dalang di sebalik penyelewengan dana 1MDB berkenaan.

Low, yang kini dalam pelarian, berulang kali menafikan dirinya bersalah dan mendakwa dakwaan terhadapnya bermotif politik dan dia akan dinafikan perbicaraan yang adil jika kembali ke tanah air.

Bekas perdana menteri Najib Razak kini berdepan pelbagai tuduhan jenayah berhubung dakwaan penyelewengan jutaan dolar dana 1MDB dan SRC International.