KUANTAN – Ambang tahun baharu 2020 dicemari aktiviti tidak bermoral susulan penahanan 75 individu dalam Operasi Jenayah Syariah Sempena Tahun Baru 2020 di daerah ini, 1 Januari lepas.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa
Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Adnan Mamat berkata, Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan di (PAID) melaksanakan lima operasi secara berturut-turut dengan 32 kes berasingan, direkodkan.

Menurutnya, operasi pertama ialah Ops Derma membabitkan 40 Pegawai Penguatkuasa Agama yang menjalankan operasi berkaitan mengutip derma tanpa kebenaran di sekitar Pasar Malam dan kedai makan daerah ini .

“Operasi sekitar jam 6 petang, 31 Disember itu membawa kepada penahanan dua warga Thailand yang dibawa ke PAID untuk siasatan lanjut. Selain itu, 80 tabung derma yang ditinggalkan di kedai-kedai tanpa surat kebenaran Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) turut dirampas.

“Operasi kedua ialah Ops Arak membabitkan 40 pegawai sama dan tujuh anggota Ibu Pejabat Kontinjen Pahang (IPK) serta tiga anggota Cawangan Khas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Operasi dilakukan di sebuah premis karaoke di Jalan Wong Ah Jang di sini kira-kira jam 11.30 pagi tarikh sama. Tiga individu ditangkap bagi membantu siasatan kes minum dan membeli minuman memabukkan.

“Seterusnya operasi ketiga ialah Ops Judi yang dijalankan di kedai-kedai judi daerah ini pada tarikh dan masa yang sama. Empat tangkapan dibuat kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam,” katanya.

Adnan berkata, Operasi Keempat ialah Ops Pencegahan di sekitar bandar Kuantan di mana JAIP mengeluarkan empat notis arahan kepada empat orang awam untuk hadir memberi keterangan JAIP.

Manakala Ops Khalwat yang dijalankan sekitar jam 4 pagi, 1 Januari pula membawa kepada penahanan 62 individu kerana disyaki berkhalwat menjadikan keseluruhan 75 individu yang bakal didakwa di mahkamah, kelak.

Tamat