Upacara kebumi bertukar tegang, keluarga jerit hoi kepada media

KUANTAN – Usaha pihak media untuk membuat liputan penuh upacara pengkebumian jenazah remaja maut dalam satu tragedi di luar negara baru-baru ini tidak mendapat kerjasama yang baik sebaliknya petugas media dihalau waris terdekat, awal pagi tadi.

Lebih menyedihkan, apabila suasana pengkebumian yang pada awalnya sugul dan tenang bertukar tegang kerana ada ahli keluarga atau waris yang menjerkah dengan ungkapan “hoi” ketika petugas sedang berjalan keluar meninggalkan perkarangan kubur.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 malam di sebuah tanah Perkuburan Islam itu, memeranjatkan petugas media.

Bagi penulis, alah bisa tegal biasa. Adakala tugas media bagai diperlekeh dan diperkecilkan namun menyedari ia berlaku di perkuburan, media menghormati arahan waris dan mengundur diri namun apalah salah sekiranya ia diminta dengan baik.

Ini kerana, petugas media hanya melaporkan berita tersebut, apatah lagi tragedi berkaitan kematian mangsa telahpun mendapat liputan meluas media massa baik di dalam, mahu pun di luar negara, sebelum ini.

Lebih 10 petugas media berkampung sejak malam semalam, iaitu 6 Disember di tanah perkuburan itu untuk mengikuti upacara pengkebumian. Sebelum jenazah tiba penggambaran berjaya dilakukan sekitar 20 minit tanpa menerima apa-apa halangan.

Sehinggalah tiba-tiba salah seorang waris mangsa bersuara tegas dalam Bahasa Inggeris menyuruh media berhenti bertugas ketika jenazah remaja itu hendak diturunkan ke liang lahad.

Dilayan sebegitu menyebabkan petugas media angkat kaki meninggalkan lokasi namun amanah dan tanggungjawab dipikul tetap dipenuhi meski pun menjeruk rasa hati.

Ketahuilah petugas juga ada hati nurani, meninggalkan keluarga, anak kecil dan ibu sakit sehingga dinihari demi menunaikan amanah diberi.

Rakyat Malaysia tentu sekali ingin mengetahui perkembangan kes yang mendapat liputan negara luar ini.

Luahan hati salah seorang petugas media arus perdana yang turut berada di lokasi.

Apatah lagi mangsa dilaporkan meninggal dunia dalam satu tragedi menyayat hati sekitar Disember lalu.

Jenazah dilihat tiba di perkarangan tanah perkuburan itu kira-kira jam 11.45 malam diiringi kariah Masjid termasuk ahli keluarga dan waris terdekat serta penduduk.

Beliau selamat dikebumikan kira-kira jam 12.50 pagi tadi, berdekatan kubur arwah salah seorang ahli keluarganya yang turut dikebumikan di situ.

Difahamkan jenazah menaiki penerbangan dari luar negara pada 6 Januari sebelum tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur  (KLIA) kira-kira jam 4.05, petang tadi.

Mangsa dilaporkan bercuti di luar negara bersama keluarga sempena cuti persekolahan lalu.

Meski pun mengetahui banyak fakta lain, media tidak melaporkan sepenuhnya kerana menjaga sensitiviti.

Sesetengah tragedi, kami sendiri tidak mahu dan tidak mampu berada di lokasi namun kerana amanah dan tuntutan, tugas dilaksanakan dengan berhemah.

Kami melihat tugasan dari aspek menyeluruh. Siapa tidak sedih adanya kematian, siapa tidak berduka hilangnya permata kesayangan, malah duka kami adakalanya jauh lebih dalam kerana kami tahu apa rahsia mereka yang terlibat dalam sesuatu tugasan… Semoga ALLAH menutupi aib kami sepertimana kami menjaga aib dan sensitiviti tugasan tugasan kami

Tamat