Pintasan perbualan telefon: Era Najib yang cadang, luluskan

Menurut peguam Syahredzan Johan, ini dilakukan melalui pindaan kepada Kanun Tatacara Jenayah (CPC), yang membenarkan pemintasan dan perakaman perbualan pribadi dibuat pada tahun 2012 semasa Najib adalah perdana menteri.

Bukan sahaja adalah sah bagi kerajaan Malaysia untuk memintas perbualan telefon, malah pentadbiran Najib Razak yang mencadang dan meluluskannya.

Malaysiakini melaporkan, menurut peguam Syahredzan Johan, ini dilakukan melalui pindaan kepada Kanun Tatacara Jenayah (CPC), yang membenarkan pemintasan dan perakaman perbualan pribadi dibuat pada tahun 2012 semasa Najib adalah perdana menteri.

“Kamu tahu apa yang ironi? Kerajaan Najib yang memperkenalkan pindaan kepada CPC untuk membolehkan pemintasan, mendengar dan rakaman komunikasi pada tahun 2012.

“Ya, kerajaan Najib menjadikan mendengar perbualan kamu adah sah dari segi undang-undang,” katanya dalam satu siri ciapan hari ini.

Komen-komennya dibuat selepas sidang akhbar mengejutkan oleh SPRM, yang hari ini mendedahkan beberapa rakaman audio perbualan antara Najib dengan beberapa individu lain pada tahun 2016 berhubung 1MDB. Suruhanjaya anti-rasuah itu mendakwa rakaman berkenaan adalah sahih.

Antara rakaman perbualan yang didedahkan termasuk panggilan dengan isterinya, Rosmah Mansor, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, dan beberapa pemimpin dan tokoh dari UAE.

Semakan Akta CPC (Pindaan) 2012 menyatakan terdapat masukan Seksyen 116c berkenaan “permintaan komunikasi dan kebolehterimaan komunikasi yang dipintas”.

Ia menyatakan bahawa pendakwa raya boleh memberi kuasa kepada pegawai polis untuk “memintas, mendengar, atau merekodkan” apa-apa perbualan atau memasang apa-apa peranti bagi memintas dan menahan komunikasi tertentu sekiranya ia dianggap mungkin mengandungi maklumat berhubung pelaksanaan suatu kesalahan.

Pengintipan telefon mungkin perlu

Penyedia perkhidmatan komunikasi juga boleh diminta untuk memintas dan menahan suatu komunikasi yang tertentu.

Maklumat yang diperolehi adalah diterima sebagai keterangan di mahkamah, meskipun ia diperoleh selepas seseorang itu didakwa dengan suatu kesalahan di mahkamah.

Pindaan terhadap Akta CPC juga membenarkan penggeledahan dan dan perampasan tanpa waran terhadap data berkomputer.

Bagaimanapun, Syahredzan yang juga merupakan setiausaha politik kepada Anggota Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang, berkata meskipun tindakan tersebut sah di sisi undang-undang, ia menjadi satu hal yang berbeza jika dilihat dari aspek perlembagaan.

“Sama ada peruntukan itu menepati perlembagaan adalah satu perkara yang berbeza. Kesahihan peruntukan itu dari sudut perlembagaan tidak pernah dicabar di mahkamah sebelum ini,” katanya.

Andy Yong

Sementara itu, peguam dan bekas pemimpin Gerakan, Andy Yong, pula berkata penggubal undang-undang patut meneliti perkara tersebut bagi memastikan wujudnya mekanisme yang wajar bagi mengelakkan penyalahgunaan serta melindungi ruang privasi.

“Kebanyakan negara maju mencipta mekanisme bagi melindungi hak peribadi individu dengan memberi kuasa kepada badan kehakiman agar menyediakan garis panduan kepada agensi kerajaan dalam menjalankan pengintipan demi kepentingan negara.

“Dari satu segi, mereka memberikan badan kehakiman bidang kuasa mutlak untuk menggunakan budi bicaranya untuk menerima atau menolak keterangan yang diperoleh daripada pengintipan,” katanya dalam satu kenyataan.

Yong mengakui pengintipan telefon mungkin diperlukan bagi memastikan keselamatan negara daripada pengganas yang menggunakan teknologi atau aktiviti rahsia yang mengancam negara.

Bagaimanapun, tambah Yong, “pencerobohan privasi tidak semestinya pencabulan hak individu oleh pihak berkuasa.

“Oleh itu, peraturan yang ketat diperlukan untuk untuk mengawal aktiviti pengintipan oleh agensi penguatkuasa. Ia bukan satu tugas mudah.

“Dari satu segi pula, penggubal undang-undang harus memberikan kuasa – yang tidak pernah diberikan sebelum ini – kepada pihak berkuasa untuk menjalankan pengintipan demi memastikan kepentingan negara.

Dia kemudiannya mempersoalkan tujuan SPRM mendapatkan dan mendedahkan rakaman tersebut.

“Tentang pendedaham Najib… adakah SPRM berniat menyerahkan klip audio itu kepada perbicaraan mahkamah yang sedang berlangsung? Jika tidak, apa objektif mereka?

“Pada akhirnya, kita sebagai rakyat Malaysia bimbang penggunaan teknologi pengintipan yang semberono boleh mengakibatkan kehilangan autonomi, membahayakan hak orivasi dan kebebasan kita yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.