Kes video intim: Tiada pertuduhan, gagal kenal pasti individu kerana resolusi rendah

Kenyataan media itu dipercayai merujuk kepada klip video seks yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Peguam Negara Tommy Thomas mengumumkan bahawa tiada pertuduhan akan dibuat daripada video seks kontroversi yang dikaitkan dengan personaliti politik.

Malaysiakini melaporkan, kenyataan media itu dipercayai merujuk kepada klip video seks yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Thomas berkata, pakar forensik AS “gagal” mengenal pasti individu dalam video berkenaan kerana resolusi rendah.

“CyberSecurity Malaysia telah membuat kesimpulan walau pun video-video tersebut adalah tulen, pengecaman wajah tidak dapat dipastikan kerana resolusi rakaman video yang rendah yang mana analisis telah dijalankan.

“Disebabkan oleh dapatan yang tidak konklusif tersebut, PDRM telah menghantar untuk dianalisis secara bebas oleh pakar forensik di AS. PDRM menerima keputusan analisis pada bulan Disember 2019.

“Laporan yang bebas ini mengesahkan dapatan CyberSecurity, antara lainnya, ‘kegagalan untuk mengenalpasti individu-individu di dalam video tular tersebut adalah disebabkan resolusi yang rendah dan kualiti video-video dan rangka (frames) video yang sedikit untuk membolehkan suspek dilihat dengan jelas,” katanya.

Kata Tommy, susulan itu, timbalan pendakwa raya telah sebulat suara mengesyorkan kepadanya bahawa tiada pertuduhan boleh dibuat berhubung dengan video berkenaan.

“Saya telah menerima syor tersebut dan membuat keputusan tidak mendakwa mana-mana pihak,” katanya lagi.