Suspek peras ugut murid sekolah agama ditahan

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, kesemua empat remaja yang berusia 13 hingga 15 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan.

Polis sudah menahan individu yang dipercayai terlibat dalam video tular peras ugut terhadap seorang pelajar sekolah agama di jajahan Machang, semalam.

Sinar Harian melaporkan, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ganti Jimmy berkata, kesemua empat remaja yang berusia 13 hingga 15 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan.

Menurutnya, mangsa yang berusia 14 tahun itu membuat laporan di balai polis hari ini berikutan kejadian terbabit tular di media sosial.

“Berdasarkan siasatan awal kejadian yang tular di media sosial sejak semalam itu berlaku pada 21 November tahun lalu.

“Berdasarkan laporan, mangsa memberitahu dia dipanggil oleh kawannya ke lokasi kejadian iaitu di belakang sekolah terbabit.

“Suspek yang dikenali mangsa dikatakan meminta RM5 tetapi jumlah ini tidak mencukupi menyebabkan dia ditendang,” katanya ketika dihubungi.

Video berdurasi 30 saat yang tular sejak tengah malam tadi turut menunjukkan seorang lelaki menyepak pelajar yang memakai pakaian sekolah dipercayai meminta duit daripada mangsa.

Tindakan tersebut turut dikecam warganet di Facebook dan meminta supaya lelaki terbabit dikenakan hukuman setimpal.

Sejak dimuat naik di facebook, video berkenaan menerima 1,000 tanda emosi dan paling banyak adalah tanda marah daripada netizen.