Habis akibat permintaan mendadak, stok vaksin selepas Tahun Baru Cina

Ia adalah susulan permintaan vaksin influenza di klinik-klinik swasta meningkat mendadak sehingga kehabisan stok apabila orang ramai mahu mendapatkan vaksin berkenaan sebagai langkah pencegahan.

Jangkitan selesema burung (H1N1) yang berlaku di negara ini dan kematian seorang bayi berusia setahun yang dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dipercayai akibat wabak berkenaan baru-baru ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

Susulan itu permintaan vaksin influenza di klinik-klinik swasta meningkat mendadak sehingga kehabisan stok apabila orang ramai mahu mendapatkan vaksin berkenaan sebagai langkah pencegahan.

Pahang Story melaporkan, malah ada antara klinik di daerah ini telah menerima lebih 50 tempahan vaksin berkenaan setakat ini.

Seorang penduduk, Mohamad Faisal Norawi, 38, berkata dia berusaha mencari vaksin berkenaan sejak semalam tetapi kebanyakan klinik kehabisan stok.

“Setakat ini saya telah mencari di lima buah klinik tetapi kehabisan stok dan sebuah klinik yang saya pergi hari ini kebetulan ada empat stok lagi dan saya dapatkan untuk anak-anak dan isteri.

“Ada rakan-rakan saya dari Jerantut dan Lipis menelefoni bertanyakan klinik yang ada bekalan di Temerloh kerana di daerah mereka sudah tiada stok,”katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, dia mengambil vaksin berkenaan sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan yang begitu mudah berjangkit.

Dalam pada itu, seorang doktor yang enggan dikenali berkata, peningkatan permintaan terhadap vaksin berkenaan menyebabkan stok vaksin di kliniknya yang dijual dengan harga RM80 habis.

Katanya, beliau telah membuat tempahan kepada pembekal yang dijangka sampai selepas sambutan Tahun Baharu Cina.