Pahang semak kenaikan kadar cukai tanah

Kerajaan negeri telah mengkaji sebelum membuat keputusan menaikan kadar cukai tanah ini dengan mengambil kira faktor kadar sebelum ini yang agak rendah berbanding nilaian tanah semasa.

Selepas semakan terakhir kadar cukai tanah pada 2007, Kerajaan Negeri Pahang akan membuat semakan pada tahun ini secara menyeluruh melibatkan tanah-tanah Industri, pertanian, perniagaan dan kediaman.

Ia bertujuan bagi menyelaras kadar cukai tanah di Negeri Pahang dan untuk memastikan kadar cukai tanah adalah bersesuaian dengan nilaian tanah dan penggunaan tanah semasa.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata, semakan kadar cukai tanah yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pahang pada tahun 2020 ini adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Tanah Negara pada 14 Disember 2015.

Menurutnya, mesyuarat menetapkan semua negeri perlu menyemak semula kadar cukai tanah negeri masing-masing manakala negeri yang telah menyemak semula kadar cukai tanah adalah Negeri Sabah, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah mengkaji sebelum membuat keputusan menaikan kadar cukai tanah ini dengan mengambil kira faktor kadar sebelum ini yang agak rendah berbanding nilaian tanah semasa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kenaikan kadar cukai tanah ini memberi lebih penekanan kepada kawasan industri, perniagaan dan pertanian yang melebihi 10 ekar.

“Kadar baru ini dikira berdasarkan faktor satu peratus dari nilai tanah semasa walaubagaimanapun akan keprihatinan pihak kerajaan penetapan kadar sebenar yang dibuat sebenarnya adalah lebih rendah daripada faktor satu peratus tersebut.

“Kenaikan ini juga bertujuan untuk menyelaraskan dua kadar kiraan cukai berbeza yang digunapakai sebelum ini iaitu kadar tahun 1994 dan 2007..contohnya 1994 menggunakan kadar yang lain dan 2007 yang kerajaan buat kediaman menggunakan kadar yang lain.

“Jadi dengan semakan ini kita menyelaraskan pada hal benda yang sama, perkara yang sama, jadi dengan kuatkuasanya tahun ini ia akan jadi selaras,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Dun Benta di Dewan Balora Benta, Lipis, hari ini.

Selaras dengan keprihatinan kerajaan negeri itu juga,  Wan Rosdy menambah, bagi tanah pertanian, kadar baru hanya melibatkan tanah-tanah yang melebihi 10 ekar selaras dengan keperihatinan Kerajaan Negeri untuk tidak membebankan pekebun kecil, orang-orang kampung, golongan B40 dan peneroka Felda.

Menurutnya, bagi tanah kediaman, tiada kenaikan kadar cukai dikenakan namun penyelarasan dibuat bagi hakmilik yang masih menggunakan kadar cukai tanah tahun 1994 kerana kadar baru bagi tanah tersebut akan menggunakan kadar tahun 2007.