Giat Mara bukan pendidikan kelas kedua

Para pelatih yang diajar dalam bentuk kemahiran itu mendapat permintaan tinggi dari kalangan majikan selain boleh menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Institusi latihan seperti Giat Mara tidak boleh dianggap sebagai pendidikan kelas kedua kerana ia menawarkan peluang yang amat luas kepada pelatihnya.

Penyelaras Parlimen Rompin, Mohd Fadzli Mohd Ramly, berkata, sehubungan itu golongan muda dari kalangan bumiputera perlu memanfaatkan peluang ini.

Menurutnya, para pelatih yang diajar dalam bentuk kemahiran itu mendapat permintaan tinggi dari kalangan majikan selain boleh menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Kebanyakan pelatih tidak perlu bimbang kerana peluang kerja amat cerah ada antara mereka sudah pun ‘dipinang’ oleh majikan walaupun belum menamatkan latihan.

“Selain itu, hasil kemahiran yang dipelajari, mereka juga boleh menjadi usahawan dengan menyediakan perkhidmatan pendawaian, membuka bengkel motosikal atau kereta serta banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Minggu Mesra Pelatih dan Majlis Tamat Latihan Giat Mara Rompin.

Mohd Fadzli (dua,kanan) menyampaikan sijil tamat latihan kepada pelatih Giat Mara Rompin.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan lebih banyak Giat Mara di lokasi tertentu selain menaikkan elaun pelatih.

“Pejabat penyelaras parlimen juga sentiasa menjalin kerjasama seperti dalam Rompin Fest dengan memberikan kursus dan demonstrasi servis motosikal kepada penduduk Rompin serta pemberian minyak 2T percuma,” katanya.