Tidak benar PH gagal wujud perpaduan kaum

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada tahun lalu adalah model jelas yang menggariskan penumpuan yang saksama dalam pembangunan ekonomi yang berupaya menyatukan bangsa Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Amanah Pahang mengambil serius berhubung kenyataan daripada Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang disiarkan di portal Sinar Harian baru-baru ini berkenaan kegusaran beliau melihat suasana hubungan kaum yang dikatakan semakin meruncing di negara ini.

Pengerusinya, Zulkifli Mohamed, berkata, isu perkauman yang sedang hangat itu merupakan tanggungjawab bersama untuk diselesaikan dan bukan hanya diletakkan atas bahu pihak kerajaan semata-mata.

Menurutnya, isu tanglung, Dr Zakir Naik dan polemik tulisan jawi tidak sesuai disentuh hanya dalam konteks politik semata-mata.

“Ada isu yang jauh lebih utama untuk diselesaikan agar isu-isu perkauman dan agama dapat diredakan sepenuhnya.

“Kami percaya isu ekonomi adalah kunci penyelesaian kepada isu-isu sensitif yang sedang hangat dibicarakan ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada Timur Daily.

Beliau berkata, sentimen yang mendakwa kononnya kerajaan Pakatan Harapan gagal mewujudkan perpaduan kaum di negara ini, merupakan kenyataan terpesong dan jauh daripada realiti.

Menurutnya, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada tahun lalu adalah model jelas yang menggariskan penumpuan yang saksama dalam pembangunan ekonomi yang berupaya menyatukan bangsa Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

“Sekiranya ekonomi negara semakin mantap dan dirasai oleh rakyat, maka isu-isu perkauman dan agama tidak lagi relevan. Maka itulah yang sedang dilakukan oleh kerajaan hari ini yang memberi fokus kepada pemulihan ekonomi negara yang tenat di bawah rejim Barisan Nasional dahulu.

“Namun demikian, pada masa sama Amanah Pahang tetap menyeru dan mendesak agar setiap pemimpin kerajaan berhati-hati dalam memberi apa-apa juga kenyataan yang melibat isu-isu sensitif serta menjauhkan diri daripada memberi komen kepada mana-mana agensi berita yang hanya ingin mendapatkan cerita sensasi dan populariti semata-mata,” katanya.

Di samping itu, beliau turut menggesa pihak penguatkuasaan agar tidak terkecuali memainkan peranan yang bijak dalam menangani isu-isu sensitif ini agar rakyat tidak menyalah tafsir akan tindakan-tindakan mereka.