5.9 tan pukat hantu dalam tempoh 2 tahun

Koordinator RCM, Alvin Chelliah, berkata, pukat hanyut itu yang selalunya tersangkut pada karang boleh memberi kesan sangat buruk kepada terumbu karang.

Pukat ‘hantu’ atau pukat hanyut terus menghantui Pulau Tioman yang boleh menjejaskan hidupan marin di pulau peranginan terkenal negara itu.

Berdasarkan data Reef Check Malaysia (RCM), sebanyak 12 pukat hantu dengan berat anggaran 3500kg telah dikeluarkan dari perairan Pulau Tioman pada 2018.

Bagaimanapun, pada 2019, jumlah itu menurun kepada lapan pukat hantu telah dengan berat 2400kg.

Sukarelawan Cintai Tioman akan melupuskan pukat hantu yang ditemui di dasar laut Pulau Tioman.

Koordinator RCM, Alvin Chelliah, berkata, pukat hanyut itu yang selalunya tersangkut pada karang boleh memberi kesan sangat buruk kepada terumbu karang.

Menurutnya, pukat itu boleh menghalang pembesaran terumbu karang dan menyebabkan karang mati.

“Selain itu, pukat hanyut boleh menyebabkan kematian hidupan marin. Berdasarkan data RCM pada 2018, sebanyak tiga ekor penyu dan beberapa hidupan marin lain seperti ikan yu serta ikan karang mati disebabkan tersangkut pada pukat hanyut.

“Namun data pemantauan terumbu karang RCM pada 2019 juga mendapati keadaan terumbu karang Pulau Tioman dikatakan dalam keadaan baik dengan purata litupan karang hidup sebanyak 63.82 peratus,” katanya dalam satu kenyataan kepada Timur Daily.

Dalam pada itu, beliau berkata, Tioman merupakan pulau yang mencatatkan litupan karang hidup tertinggi berbanding dengan semua pulau yang dipantau oleh RCM di perairan Malaysia.