Anwar teruskan tindakan undang-undang terhadap Yusoff Rawther

Beliau berkata demikian susulan keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) tidak akan membuat pendakwaan terhadapnya atas dakwaan serangan seksual terhadap Yusoff.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau tetap akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap Muhammed Yusoff Rawther.

Malaysiakini melaporkan, beliau berkata demikian susulan keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) tidak akan membuat pendakwaan terhadapnya atas dakwaan serangan seksual terhadap Yusoff.

“Meskipun dakwaan yang sah tidak boleh diketepikan dan harus disiasat sesuai dengan proses hukum, namun saya tidak dapat memaafkan tuduhan yang jelek, semberono dan yang menghina terhadap saya.

“Untuk memastikan keadilan ditegakkan, tindakan undang-undang yang telah dimulakan sebelum ini akan diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas yang disiarkan di Twitternya, hari ini.

Terdahulu Peguam Cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek berkata tiada pendakwaan yang dibuat ekoran ada percanggahan fakta yang material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan.

“Kami juga mendapati tidak terdapat cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan-laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan-keterangan yang ada dalam kertas siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menyatakan penghargaannya terhadap keputusan itu serta menyatakan terima kasih kepada pihak berkuasa “atas profesionalisme yang ditunjukkan”.

Pada 4 Disember lalu, Yusoff berkata telah membuat akuan bersumpah, bertarikh 19 November 2019, mendakwa Anwar melakukan salah laku seksual terhadapnya pada Oktober 2018.

Dia membuat laporan polis berkenaan perkara itu pada 7 Disember lalu.

Sehari selepas dakwaan Yusoff, iaitu pada 5 Disember, setiausaha sulit Anwar, Shukri Saad membuat laporan polis terhadap Yusuff.

Pada 15 Disember, Anwar melalui peguamnya Ramkarpal Singh mengeluarkan surat tuntutan kepada Yusuff untuk menjelaskan dakwaan yang dibuatnya.