Peniaga mahu fail semakan semula kenaikan caj

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu berkata, semakan semula itu adalah bagi memohon mahkamah untuk menyemak tindakan kerajaan negeri Pahang menaikkan kadar caj cukai tanah yang didakwa pemilik ada yang mencecah puluhan ribu ringgit sedangkan sebelum ini hanya ratusan ringgit.

Turut bergambar, Norkamawati mewakili MPK (empat dari kiri) dan wakil Pejabat Tanah, Izad Zainal (enam dari kanan)

Sesi perjumpaan lebih 20 NGO dan 300 peniaga dengan pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) hari ini berakhir dengan keputusan untuk memfailkan semakan semula caj kenaikan menerusi mahkamah, dalam tempoh 30 hari.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu berkata, semakan semula itu adalah bagi memohon mahkamah untuk menyemak tindakan kerajaan negeri Pahang menaikkan kadar caj cukai tanah yang didakwa pemilik ada yang mencecah puluhan ribu ringgit sedangkan sebelum ini hanya ratusan ringgit.

Menurutnya, sementara itu bagi perbincangan mengenai kenaikan kadar caj beberapa lesen membabitkan pihak MPK, para peniaga sepakat untuk menghantar memorandum kepada MPK dalam masa terdekat.

“Hasil perbincangan hari ini kami mendapat persefahaman dan persetujuan untuk membentuk Jawatankuasa Bertindak Pantau Kenaikan Harga. Pihak Pusat Khidmat Komuniti DUN Semambu dan DUN Teruntum bersedia menawarkan lokasi perbincangan kepada para peniaga untuk membentuk satu jawatankuasa penaja bagi memfailkan memorandum dan semakan semula mahkamah ini.

“Setiap dewan perniagaan dan NGO yang berkumpul pada hari ini ada peguam mereka sendiri dan mereka akan berbincang serta bertindak segera. Mereka ada masa tiga bulan untuk fail semakan mahkamah, dari tarikh kerajaan Pahang memeterai Warta Kerajaan, Government Of Pahang Gazzete bertarikh 31 Oktober 2019. Pihak kami pula sedia bantu peniaga untuk bawa hal ini ke depan.

“Hal ini tidak ada motif politik tapi kita nak bantu peniaga. Kita berterima kasih juga kerana MPK dan Pejabat Tanah dan Galian negeri hantar wakil untuk sama sama berbincang dalam satu majlis khas ini,” katanya pada sidang media Sesi Perbincangan Persekitaran Perniagaan Pahang, Kenaikan Harga Lesen dan Cukai Tanah di Teluk Sisek, di sini.

Hadir sama, Adun Teruntum Sim Chon Siang; Presiden Dewan Perniagaan China Kuantan, Datuk Danny Kim Gang Long dan wakil Koperasi Bina Usahawan Jaharah Che Ngah.

Sementara itu, Ketua Seksyen Perhubungan Awam MPK, Norkamawati Kamal berkata, pihak MPK mengalu-alukan sebarang cadangan dan akan memaklumkan kepada pengurusan berhubung penyerahan memorandum para peniaga.

“Kita ambil maklum keputusan mereka dalam perjumpaan ini dan akan bawa ke pengurusan. Perjumpaan ialah untuk mencari solusi kerana MPK tidak menaikkan harga cuma kita dah hapuskan diskaun.

“Contoh isu lesen papan tanda berlampu, kalau perlu bagi insentif kepada peniaga yang mengikuti syarat MPK, tiada salah untuk kita berikan. Tapi kena ikut syaratlah.

“Arahan pasang lampu sehingga malam kena patuh. Ini untuk beri keadilan kepada mereka yang ikut syarat,. Begitu juga caj lain” katanya.