Kerajaan Pahang tubuh Unit Penguatkuasa Bersepadu, tingkat intergriti dan kecekapan tadbir urus

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang menerusi Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) menubuhkan Unit Penguatkuasa Bersepadu sebagai langkah memaksimakan intergriti kakitangannya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pasukan ini menggabungkan pelbagai jabatan dan NGO termasuk agensi, Jabatan Agama Islam dan Imigresen.

Menurutnya, Pahang merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sumber asli dan bahan mentah.

“Oleh yang demikian bagi mengelakkan berlaku pembaziran dan ketirisan serta memanfaatkan sumbernya, kerajaan serius mewujudkan unit yang disertai pelbagai pihak secara bersepadu ini.

“Kita tidak mahu berlaku pembaziran dan ketirisan. Pejabat SUK telah tubuhkan pasukan tersebut untuk penguatkuasaan. Kerajaan negeri yakin unit yang dianggotai pelbagai jabatan ini akan membawa kepada tadbir urus kerajaan negeri yang baik.

“Sebagai contoh dalam kes mereka yang melaksanakan aktiviti pencerobohan tanah haram.Tanpa gabungan pasukan bersepadu ini tak mungkin ia dapat dilaksanakan dengan besar-besaran. Unit ini bekerjasama erat dengan kakitangan kerajaan dan penguatkuasa di peringkat Persekutuan,” katanya.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang dan pegawai kanan kerajaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media program Syarahan Utama LeadPahang anjuran Kolej Universiti Yayasan Pahang (KUYP) di Tanjung Lumpur di sini, hari ini.

Dalam perkambangan lain Wan Rosdy mengumumkan aktiviti perlombongan bauksit di negeri ini akan dimulakan bulan depan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri Pahang sedang berada di fasa akhir perbincangan yang perlu dimuktamadkan bersama pengusaha-pengusaha bauksit, selain hal berkaitan pematuhan SOP (Standard Operation Procedure).

“Kalau ikutkan tempoh moratarium sudah berakhir. Kerajaan kena ada hitam putih dengan pengusaha dahulu. Mungkin bulan depan akan dimulakan kerana ia salah satu sumber kerajaan yang amat bernilai,” katanya.

Tamat