Rafflesia tarikan eko-pelancongan baru Raub

Bunga terbesar di dunia itu tumbuh di Hutan Simpan Kekal Gunung Benom yang terletak berhampiran Kompleks Rekreasi Lata Jarum.

Jika dulu terkenal di Sabah dan Sarawak, kini penduduk semenanjung hanya perlu ke Raub, Pahang untuk melihat bunga rafflesia.

Bunga terbesar di dunia itu tumbuh di Hutan Simpan Kekal Gunung Benom yang terletak berhampiran Kompleks Rekreasi Lata Jarum.

Pengunjung boleh ke lokasi dengan berjalan kaki yang memakan masa kira-kira sejam atau lebih cepat dengan menaiki pacuan empat roda.

Bagaimanapun, hanya pengunjung yang bernasib baik akan dapat melihat ia dalam keadaan kembang penuh kerana bunga itu memakan masa kira-kira setahun untuk mengembang.

Pengawas Hutan, Zainudin Mahmud yang bertugas menjaga tempat itu sejak 2009 berkata, terdapat 136 compartment yang digazet sebagai lokasi bunga itu tumbuh dengan jumlah keluasan 4.35 hektar.

Jelasnya, bagaimanapun setakat ini hanya compartment 11 banyak mengeluarkan bunga yang menjadi lokasi utama dilawati pengunjung.

Tambahnya, terdapat dua jenis rafflesia di Raub iaitu spesis cantleyi dan azlanii namun tumbuh di lokasi hutan yang berbeza.

Spesis yang terkenal dan menjadi tarikan sekarang adalah cantleyi di Hutan Simpan Kekal Gunung Benom manakala satu lagi spesis azlanii yang boleh ditemui di Buntu.

Menurutnya, spesis cantleyi kembang penuh selama kira-kira tujuh hari dan saiz yang direkodkan adalah 60 sentimeter.

Penulis juga tidak melepaskan peluang merakam kenangan.

“Akar rafflesia ini telah tumbuh di kawasan ini kerana ia adalah kawasan yang sesuai. Ia tumbuh di kawasan yang berdekatan dengan sungai yang menjadi sumber air baginya.

“Akarnya pun bukan semua tempat ada..dia ada tempat-tempat tertentu sahaja. Mula dikesan dan dibuka pada 2009, bunga rafflesia yang kembang sudah mencecah ribuan,” katanya.

Mengelak pengunjung atau pelancong kecewa jika masuk tetapi tidak dapat melihat bunga rafflesia kembang, beliau menyarankan supaya menghubungi Pejabat Perhutanan Raub terlebih dahulu selain untuk proses permohonan permit masuk.

Sementara itu, Adun Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin, berkata, Raub memang terkenal dengan produk eko-pelancongannya seperti sungai, air terjun, hutan, bukit dan gunung manakala sekarang bunga rafflesia turut menjadi satu tarikan baru yang berpotensi untuk menarik leboh ramai pelancong ke daerah itu.

Shahiruddin bersama kumpulan media, JKKK dan pengawas hutan terlibat sebelum memulakan ekspedisi ke lokasi bunga rafflesia di Hutan Simpan Kekal Gunung Benom.

“Jadi ini juga merupakan satu tarikan yang cukup menarik yang mana pejabat hutan dan state goverment. Kita akan berusaha angkat satu kertas khas kepada kerajaan negeri melalui Badan Pelancongan Negeri Pahang.

“Kita juga akan hantar satu permohonan khas daripada Pejabat Daerah Raub kepada Menteri Pelancongan Malaysia supaya dapat membantu kita angkat hebatkan kawasan bukit Ulu Dong ini di samping air terjunnya kita dapat membangunkan produk baru kita ni rafflesia,” katanya.