Bakal pengantin boleh nikmati harga hebat di Karnival Raja Sehari di Kuantan Parade

KUANTAN – Bakal Raja Sehari bakal menikmati pelbagai manfaat dan diskaun menarik sehingga 50 peratus sekiranya membuat tempahan menerusi pengusaha-pengusaha perancang perkahwinan dan studio foto dalam Karnival Raja Sehari 2020 (KRS2020).

Pengarah Urusan Ujies Collection, Ujie Ariffin, 46, berkata, ini kerana KRS2020 yang berlangsung selama tiga hari sejak 17 Januari itu disertai kira-kira 34 usahawan.

Mereka terdiri daripada pengusaha perniagaan butik pengantin, jurusolek, katering, syarikat percetakan, studio foto dan produk yang berkumpul di bawah satu bumbung bagi mempromosikan perkhidmatan masing-masing.

“Sebelum menyertai pameran pihak saya sudah berunding dan bersemuka dengan bakal vendor untuk membuat persetujuan menang-menang.

“Pihak penganjur menawarkan kos sewa tapak yang sangat murah selama tiga hari manakala vendor menyediakan pakej murah dan berbaloi kepada bakal pengantin,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Bermotifkan perkongsian pengalaman perniagaan, Ujie berkata beliau sanggup mengetepikan keuntungan dan tidak meletakkan kos sewaan yang terlalu tinggi.

Ujie mengenakan sewaan gerai terendah iaitu RM800 untuk tiga hari dan mengehadkan penyertaan vendor untuk menjaga kualiti dan pendapatan penyewa.

“Kebelakangan ini industri perancangan perkahwinan alami kekangan dari segi kos. Saya biasa menyewa gerai sehingga ribuan ringgit untuk tempoh tiga hari.

“Dari situ saya berfikir untuk menganjur sendiri program dengan menawarkan sewa yang sangat murah. Promosi awal tahun dengan kos pemasaran yang rendah saya yakin dapat sama sama bangkit dengan rakan seindustri. Mereka bukan pesaing tapi pemangkin untuk industri ini terus relevan di masa depan,” katanya.

Menariknya, karnival yang mengangkat songket sebagai konsep utama pameran itu telah memperagakan lebih 60 busana songket di pentas utama dan gerai vendor dalam tempoh tiga hari ini bagi memberikan varian kepada bakal raja sehari.

Menurutnya, pemilihan konsep itu dibuat bagi mengangkat songket sebagai tradisi Malayu yang tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan.

“Songket sinonim dengan pengantin dan perkahwinan.  Ia pakaian raja dari dulu, kini dan selamanya. Sebab itu ia disebut Raja Sehari. Apabila pakai songket, terserlah pengantin itu menjadi raja meskipun untuk sehari.

“Namun pada hari ini material yang digunakan lebih ringkas dan sesuai dengan era semasa berbanding pada zaman dulu yang menitikberatkan benang emas daripada sutera. Perincian songket pada masa kini juga menggabungkan elemen elegan bagi menampilkan imej klasik dan classy kepada pengantin,” katanya.

Hadir sama selaku perasmi majlis ialah Pengarah SIRIM Pahang Mazlina Manshor yang juga Pengerusi Persatuan Wanita Evolusi Baru.

Turut diadakan pertandingan henna, pertandingan solekan, gerai tercantik, demonstrasi dekorasi kek dan demonstrasi hantaran berpatutan.

Vendor yang juga pengasas RG Studio, Muhammad Rizuan Abdul Ghani, 30, berkata, harga yang dibincangkan adil kepada semua pelanggan dan pengusaha-pengusaha perniagaan di sini.

“Kebanyakan karnival sewa lot untuk tiga hari mencecah ribun ringgit. Tapi kali ni sangat murah. Bukan profit oriented sebaliknya untuk membantu kami yang berada di dalam industri ini,” katanya.

Beliau berkata industri tersebut pada masa ini sedang sakit dan memerlukan anjakan paradigma sedemikian.

“Ada banyak barangan yang dijual ready made dan orang  yang bekerja pun sekarang terdesak nak cari duit lebih. Mereka pun buat pelamin dan tawar barga jauh lebih rendah.

“Jadi apa yang menempatkan kita di mata pelanggan adalah kreativiti dan kelainan. Itu yang menjadikan kita berkualiti dan pilihan pelanggan,” katanya.

Sementara itu Pengarah Dellusie Production, Safwan Mohd Razi berkata, pihaknya menawarkan harga pakej penggambaran serendah RM1500 dengan diskaun RM200 beserta hadiah percuma berupa gambar berbingkai (16x24inc) khas kepada pengunjung gerainya sehingga esok.

Tamat