PRK Kimanis: BN semakin hampir dengan kemenangan

Berdasarkan pengiraan tidak rasmi, beliau mendahului lawannya Karim Bujang dari Warisan dan kini semakin hampir untuk meraih lebih separuh undi yang dianggarkan hari ini.

Mohamad Alamin dari Barisan Nasional semakin hampir mencatat kemenangan dalam PRK Kimanis.

Malayskakini melaporkan, berdasarkan pengiraan tidak rasmi, beliau mendahului lawannya Karim Bujang dari Warisan dan kini semakin hampir untuk meraih lebih separuh undi yang dianggarkan hari ini.

Bilik Gerakan Umno mula riuh dengan sorakan yang dipimpin oleh pemimpin BN termasuk Ahmad Zahidi Hamidi, Mohamad Hasan, Annuar Musa dan Bung Moktar Radin.

Sebanyak 29,664 pengundi yang layak di Kimanis dan dianggarkan 80 peratus daripada jumlah itu keluar mengundi.

6.50 petang – Seorang penganalisis dalam respons segera berkata jika BN memenangi PRK Kimanis, ia hanya menunjukkan pengundi Kimanis juga dipengaruhi isu nasional.

“Ini menunjukkan ketidakpuasan terhadap prestasi kerajaan Pakatan Harapan, telah merebak ke Sabah,” kata penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi.

Beliau menambah bahawa rakyat juga tidak berpuas hati dengan pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) Sabah yang akan dilancarkan pada Jun.

Sebelum ini, pelbagai tinjauan mendapati isu dan pembangunan tempatan akan menjadi faktor utama dalam PRK Kimanis.

6.44 petang – Berdasarkan kiraan tidak rasmi, BN kini mendahului lebih 1,000 undi.

Ketika laporan ini ditulis, BN meraih 8,212 undi sementara Warisan 6,820 undi. Ini meletakkan BN di hadapan dengan 1,392 undi.