PRK Kimanis: Sokongan pengundi bukan Islam terhadap Warisan menurun di Simpangan

Warisan meraih 49.81 peratus undi, berbanding BN 49.23 peratus undi. Terdapat juga 0.96 peratus undi yang ditolak.

Berdasarkan analisis pengiraan tak rasmi, Warisan sekadar menang tipis di pusat daerah mengundi (PDM) Simpangan.

Malaysiakini melaporkan, Warisan meraih 49.81 peratus undi, berbanding BN 49.23 peratus undi. Terdapat juga 0.96 peratus undi yang ditolak.

Walaupun menang, ia bukan petanda yang baik untuk Warisan yang sebelum ini menang dengan selesa di PDM itu pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Pada PRU 2018, Warisan memperoleh 61.32 peratus undi berbanding BN 32.17 peratus BN di Simpangan.

Simpangan kebanyakannya terdiri daripada bumiputera bukan Islam sekitar 73.52 peratus. Kumpulan kedua terbesar adalah pengundi Cina.

Meskipun pengundi Cina hanya terdiri daripada 3.66 peratus di Kimanis, mereka paling ramai bertumpu di PDM Simpangan, iaitu 15.28 peratus daripada kesemua pengundi Cina.

Bumiputera Islam membentuk sembilan peratus di Simpangan manakala etnik lain pula ialah 2.19 peratus.