Tadbir Urus Islam demi maslahah rakyat, kesejahteraan negara

Definisi Negara Rahmah adalah sebuah negara yang menaungi rakyatnya dengan kepimpinan yang berintegriti, tadbir urus baik, masyarakat berilmu, berakhlak dan penyayang.

Dasar Pentadbiran Islam telah mendapat kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Oktober 2019 melalui pendekatan RAHMAH.

Ia juga diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) manakala perlaksanaan dan penjelasan Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah serta Model Malaysia mendapat perkenan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-254 pada 4 Julai 2019.

Ia selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama meliputi pertumbuhan yang lebih saksama untuk negara, memberikan nilai yang lebih tinggi kepada ekonomi negara dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang kompetitif, berintegriti serta bermaruah.

Menurut Amanat Tahun Baru 2020 yang disampaikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh, definisi Negara Rahmah adalah sebuah negara yang menaungi rakyatnya dengan kepimpinan yang berintegriti, tadbir urus baik, masyarakat berilmu, berakhlak dan penyayang.

Fuziah sedang menyampaikan Amanat Tahun Baru 2020 kepada kakitangan Kerajaan Persekutuan Pahang di Kuantan.

Ia meliputi hubungan etnik dan penganut pelbagai agama yang harmoni, ekonomi yang mampan, pembangunan serta alam sekitar yang lestari.

Malah turut tidak dilupakan kebajikan dan keselamatan rakyat terpelihara dengan bersifat menyantuni kemanusiaan, ihsan dan peradaban bermatlamatkan kesejahteraan sejagat.

Dalam amanat itu juga, Fuziah turut menjelaskan mengenai tiga teras Model Negara Rahmah melibatkan teras satu iaitu Rahmatan Lil Alamin yang meletakkan Islam sebagai rahmah sekalian alam yang membawa keamanan dan kemakmuran dalam masyarakat.

Teras kedua pula adalah pendekatan Maqasid Syariah iaitu pentadbiran berasaskan prinsip maqasid syariah yang menekankan penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta manakala teras ketiga fokus kepada Model Malaysia yang sesuai dengan keadaan, adat serta budaya bangsa Malaysia tanpa meninggalkan asas-asas Islam.

Beliau yang merupakan wakil Kerajaan Persekutuan itu menyampaikan Amanat 2020 di hadapan barisan wakil jabatan atau agensi Kerajaan Persekutuan di Kuantan, baru-baru ini.

Di akhir amanat, beliau menegaskan bahawa tadbir urus menurut Islam adalah berteraskan maslahah rakyat dan menjadikan kesejahteraan negara sebagai keutamaan.

Wakil-wakil jabatan atau agensi Kerajaan Persekutuan yang hadir.

Kakitangan awam setiap peringkat perlu memastikan setiap perancangan dan pelaksanaan adalah untuk memenuhi maslahah serta menghindari mafsadah.

Ia hanya berlaku apabila setiap perancangan dan pelaksanaan aktiviti itu memberi kesan positif terhadap rakyat dengan menzahirkan nilai rahmat kepada semua tanpa mengira bangsa serta agama.

Jabatan atau agensi penguatkuasaan turut hadir mendengar amanat.