Jangan jadikan IPGM tempat pengasingan kaum

Setelah meneliti tawaran dan pengambilan bakal calon IPGM melalui laman sesawang 2020 (http://upu.moe.gov.my/web/), terdapat program yang tidak perlu diasingkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Kementerian Pendidikan Malaysia perlu mengkaji semula pengambilan calon Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) ambilan 2020 dengan tidak menjadikan IPGM tempat pengasingan kaum atau menjurus kepada sekolah vernakular sebelum bakal guru itu di tempatkan ke sekolah-sekolah apabila tamat pengajian lima tahun kelak.

Ia sewajarnya boleh disatukan calon-calon pelbagai kaum itu mengikuti program pengajian.

Setelah meneliti tawaran dan pengambilan bakal calon IPGM melalui laman sesawang 2020 (http://upu.moe.gov.my/web/), terdapat program yang tidak perlu diasingkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Selain itu, program Bahasa Melayu perlu mengambil calon guru yang benar layak serta bermahiran tinggi terutama penutur jati bagi memantapkan pengajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di SRJKC dan SRJKT.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik berkata, pengasingan program itu bakal menjarakkan lagi penyatuan kaum di kalangan calon dan pastinya perasaan perkauman akan terus menebal apabila bakal guru itu ke sekolah SRJKC dan SRJKT.

“Ada program tidak perlu dipisahkan mengikut sekolah vernakular contoh seperti Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) Pendidikan Jasmani (KB144016) untuk SJKT dan KB6144021 untuk SRJC dan kursus yang sama dengan kod KB6144026 untuk sekolah kebangsaan.

“Malah, program pengajaran bahasa Melayu PISMP pula turut diasingkan mengikut SRJKC dan SRJKT, sewajarnya calon yang layak perlu bersama dalam satu kelas, ini meningkatkan kemahiran komunikasi bahasa itu di kalangan berbilang kaum,” katanya.

Katanya PISMP Pendidikan Muzik (KB6144017) untuk SJKT dan KB6144022 untuk SJKC, malangnya tiada tawaran kursus ini kepada calon untuk SK, pada tahun 1980an, 1990an dan awal 2000, calon opsyen program seperti ini boleh diintegrasikan termasuk kaum etnik dari Sabah dan Sarawak.

Jasni berkata, kursus yang perlu mengikut sekolah tertentu seperti Bahasa Cina, Tamil, Kadazan Dusun dan Iban diteruskan kerana memerlukan penutur jati bahasa itu sendiri.

“Program seperti matematik dan sains rendah boleh diberi latihan secara umum tanpa dipisahkan mengikut SJKC dan SJKT, bakal guru program ini boleh ditempatkan kepada semua sekolah kebangsaan, SJKC dan SJKT kerana kursus dan latihan yang didapati adalah sama, hanya bahasa pengantar yang berbeza.

“KGMMB berharap KPM menyemak kembali tawaran program-program seperti itu agar selain memberi kesan jangka panjang perpaduan kaum, penjimatan penempatan program di IPGM seterusnya penempatan bakal guru yang boleh kongsi sama sebelum permohonan dibuka pada bulan Februari 2020 nanti.